Sudah berdaftar sebagai ahli e-MANS?

Kemasukan Tingkatan Satu di Maahad Ahmadi

CATEGORY: | 23.11.09
7
PERMOHONAN masuk ke tingkatan satu bagi Maahad Ahmadi boleh berurusan terus dengan Bahagian Pelajaran, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.

Tarikh tutup permohonan adalah dua minggu selepas keputusan UPSR dikeluarkan. Maahad Ahmadi tidak mengeluarkan borang permohonan sebaliknya Bahagian Pelajaran yang menguruskan kemasukan tingkatan satu di Maahad Ahmadi, Sekolah Menengah Agama Sains Kuala Pilah dan Institut Tahfiz Al Quran Negeri Sembilan.

Selamat Bercuti

CATEGORY: | 20.11.09
0
BERMULA hari ini, pelajar seluruh negara akan mula bercuti akhir tahun. Pelajar Maahad Ahmadi tidak ketinggalan bercuti sehingga 4 Januari 2010. Pelajar dinasihatkan agar menjaga kebersihan dan berhati-hati sepanjang percutian lebih-lebih lagi musim hujan sekarang.

Disamping itu, terdapat aktiviti pelajar pada cuti sekolah ini iaitu pelajar tingkatan dua yang menyertai Kem Bahasa Al Quran yang berlangsung sehingga Rabu 25 November.

Manakala Badan Perwakilan Pelajar akan mula mengikuti kursus kendiri untuk menghadapi situasi pada tahun 2010 kelak.

Diharap semua pelajar dapat menunaikan kewajipan sebagai seorang pelajar, anak dan juga sentiasa memenuhi masa cuti dengan perkara yang berfaedah dan berguna kepada masyarakat.


Salam Imtihan SPM

CATEGORY: | 18.11.09
0
HARI ini bermula peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2009 seluruh negara. Calon dari Maahad Ahmadi yang menduduki SPM adalah seramai 86 pelajar melibatkan tempoh sebulan dalam menduduki peperiksaan.

SPM kali ini juga merupakan kali pertama sistem pengredan yang baru digunakan dengan tidak lagi memakai jumlah A tetapi melihat kepada sistem mata seperti pelajar universiti.

Diharap calon dapat menjawab peperiksaan dengan tenang dan menjaga kesihatan dalam tempoh sebulan sehingga 16 Disember.

Bengkel Perancangan Strategik Maahad Ahmadi 2010

CATEGORY: | 17.11.09
0
Pusat Sumber Maahad Ahmadi : UNIT Kokurikulum Maahad Ahmadi mengadakan Bengkel Perancangan Strategik Maahad Ahmadi bagi tahun 2010. Tujuan diadakan bengkel bagi menyelaras tugas setiap panitia untuk merancang kecemerlangan akademik pada tahun depan. Bengkel ini diadakan selama 3 hari bermula 16 hingga 18 November.

Menurut peserta bengkel, mereka dikehendaki membuat satu pelan tindakan berdasarkan 'SWOT' dan strategi dalam merungkai masalah untuk memastikan kecemerlangan dikalangan pelajar bertambah baik. Mereka juga akan dinilai oleh KPI yang akan menentukan prestasi semasa guru pada tahun 2010 kelak.

Dalam bengkel tersebut, peserta akan dibahagikan kepada kumpulan mengikut subjek atau panitia masing-masing dan akan dibentangkan pada hari terakhir bengkel tersebut.

Ijtimak Perdana Sekolah Agama Negeri Sembilan

CATEGORY: | 10.11.09
0
WAJAH Ulu Bendul bertukar seketika apabila lebih 1000 guru dan pelajar memenuhi Ulu Bendul sempena Ijtimak Perdana, Sekolah Agama Negeri Sembilan. Perkhemahan itu melibatkan kira-kira 400 pelajar Maahad Ahmadi. Manakala, Institut Tahfiz Al Quran dan Sekolah Menengah Agama Sains hanya menghantar 100 pelajar.

Boleh dikatakan perkhemahan itu menjadi milik Maahad Ahmadi yang rata-rata jawatankuasa dan pelajar dikuasai dari Maahad Ahmadi. Mereka akan berada di Ulu Bendul, Kuala Pilah selama tiga hari bermula 9 hingga 11 November. Antara aktiviti yang dijalankan seperti kembara, persembahan, halaqah Al Quran dan pertandingan jahitan.

Perkhemahan ini melibatkan pelajar tingkatan 2, 3 dan 4 untuk mengisi program selepas peperiksaan yang berakhir pada minggu lepas. Semoga segala yang dirancangkan akan berjaya dan berjalan lancar tanpa ada musibah atau perkara yang tidak diingini berlaku. Selamat Berkhemah!!

catatan dari: Pearl International Hotel, Kuala Lumpur.


GURU MENANGIS SIAPA TAHU?

CATEGORY: | 4.11.09
0
Oleh : Zaid Akhtar
http://myzaidakhtar.blogspot.com

Bayangkan anda seorang guru.

Suatu hari anda ditugaskan membawa pelajar anda pergi ke sebuah daerah untuk menyertai pertandingan. Pidatolah katakan. Sekolah anda pula tiada kemudahan van atau bas yang dibekalkan kementerian. Takkanlah nak guna teksi atau van sewa pula, besar pula belanjanya, malah susah untuk bergerak di daerah asing itu nanti.

Lantas anda terpaksa membawa pelajar anda ke tempat pertandingan yang mungkin jauhnya beratus kilometer dengan kenderaan sendiri. Soal tuntutan perjalanan, akan dibincangkan kemudian dengan pihak pentadbir nanti. Yang penting pelajar@ peserta berjaya sampai tepat pada masanya dan seterusnya bertanding.

Dalam perjalanan ke daerah terbabit, kereta anda terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Alhamdulillah, anda selamat dan panjang umur. Tetapi pelajar anda meninggal dunia!

Bagaimanakah keadaan anda selepas itu? Ke balai poliskah? Atau ke lokapkah?

Jawapannya, anda akan didakwa. Jadi, berhati-hatilah apabila membawa pelajar anda pergi bertanding ke mana-mana. Kalau ada van atau bas milik sekolah, jangan pula tidak digunakan. Rebutlah harta kerajaan itu terlebih dahulu sebelum ia ditempah atau digunakan oleh mereka yang bukan warga sekolah dan sebagainya.

Saya tidak mahu mengulas lanjut tentang persoalan guru akan didakwa jika pelajarnya meninggal dunia dalam perjalanan yang berada di bawah tanggungjawabnya. Ia isu kontroversi yang mengerikan saya kira. Na'uzubillah. Cumanya hari ini saya ingin berkongsi perasaan gembira kerana sahabat saya Cikgu Zharul Nizam Shah Zainal Abidin @ Pujangga Seni telah menang dalam perbicaraannya di sebuah mahkamah di Kluang.

Kesnya sulit. Rumit. Bayangkan! Dua orang pelajarnya mati di dalam keretanya akibat kemalangan tragis dalam perjalanan pulang mereka dari Johor Bahru. Ah, ia cukup mengerikan! Sungguh, Tuhan, saya tidak sanggup menanggungnya. Bukan sekadar tragedi itu yang menakutkan, bahkan implikasinya selepas itu sangat menyeksakan. Betapa besarnya tanggungjawab seorang guru!

Justeru, sejak pertengahan 2006, Cikgu Zharul yang juga novelis Rengsa ini terpaksa turun naik mahkamah. Betapa sukarnya menempuh beberapa tahun dengan diri berada di kandang pesalah meskipun jasadnya bebas. Lesen memandunya digantung. Malah dia hampir kehilangan kerjaya jika sabit kesalahan. Lebih memeritkan apabila diri sering ditohmah bersalah. Dan kesnya sudah beberapa kali ditangguhkan perbicaraannya dari setahun ke setahun.

Syukur. Hari ini setelah lebih tiga tahun tidak pulas tidur dan rasa terdera, mahkamah akhirnya memutuskan kesnya dianggap selesai. Saya pasti air mata kegembiraan mengalir tanpa henti-henti. Begitu juga dengan tahmid dan syukur kepada Tuhan.

Tahniah, Zharul. Allah Maha Besar. Allah Maha Besar.

Mukjizat Al Quran

CATEGORY: | 28.10.09
0
Oleh Ustaz Idris Syahdan
http://anakdeli.blogspot.com

Tahukah anda ?

Laut (Al-Bahr) disebut di dalam Al-Quran secara bersendirian sebanyak 32 kali.
Darat (Al-Bar) pula disebut secara bersendirian 13 kali.
Sebutan Laut dan Darat secara bersamaan adalah jumlah 32+13 iaitu 45 kali.

Sekarang mari kita cari peratus jumlah kedua-dua laut dan darat itu.

Bilangan laut : 32/45 x 100% = 71%
Bilangan darat: 13/45 x 100% = 29%


Nah, tahukah anda bahawa 71% itu adalah peratusan keluasan laut, dibandingkan dengan peratusan darat adalah 29% menurut ahli sains (www.nasa.gov). Subhana Allah....

Betullah sebagaimana yang dikatakan orang bahawa air laut adalah sebagai aircond bagi semua makhluq hidup di atas darat, jadi keluasannya mestilah lebih dari darat.

Memanglah, sebab ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi serta hendak menciptakan manusia di atas bumi ini, Allah SWT pun terus menciptakan air di dalam bumi yang menjadi sumber kehidupan manusia dan semua makhluq hidup yang ada di sekelilingnya. Allah berfirman :

أولم ير الذين كفروا أن السموت والأرض كانتا رتقا ففتقنـهما، وجعلنا من الماء كل شيئ حي، أفلا يؤمنون

“Dan apakah orang-orang kafir tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi itu kedua-duanya dahulu adalah suatu yang padu, kemudian Kami pisahkan antara keduanya. Dan dari air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapa mereka tidak juga beriman?” (Q.S.Al-Anbiya’:30)

Air adalah inti kehidupan, tanpanya nescaya tidak ada kehidupan di muka planet ini. Jadi bukanlah secara kebetulan Allah mencipta lautan lebih luas dari daratan, tetapi sungguh kerana Allah bersifat Al-Hakim Maha Bijaksana.

Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia

CATEGORY: | 21.10.09
0
SUDAH dua hari pelajar senior Maahad Ahmadi menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Kira-kira 65 pelajar Maahad Ahmadi akan 'bertarung' dalam mencapai kejayaan yang manis untuk masa hadapan pelajar. Ini juga penentu masa depan dalam memilih bidang agama agar dapat dipraktikkan selepas tamat pengajian kelak.

STAM bermula pada 19 Oktober hingga 27 Oktober. Kepada semua pelajar, didoakan semoga berjaya dan jangan lupa sentiasa menjaga kesihatan.

Cuti Umum

CATEGORY: | 12.10.09
0
Adalah dimaklumkan bahawa pada 26 Oktober 2009 telah ditetapkan sebagai Hari Kelepasan Am untuk seluruh Negeri Sembilan di atas sambutan Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Yang Ke Sebelas.

Selamat Menduduki PMR

CATEGORY: | 7.10.09
0
HARI ini bermula peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Kira-kira 140 pelajar Maahad Ahmadi akan 'bertarung' dalam mencapai kejayaan yang manis untuk masa hadapan pelajar.

PMR akan berakhir pada 13 Oktober. Kepada semua pelajar, didoakan semoga berjaya dan jangan lupa sentiasa menjaga kesihatan.

Majlis Sambutan Aidilfitri dan Bacaan Yaasin

CATEGORY: | 5.10.09
0
1 Oktober – Keprihatinan ibu bapa dan barisan warga Maahad Ahmadi terhadap generasi muda dalam soal pembelajaran penting supaya golongan berkenaan menyedari pelajaran dapat membentuk menjadi individu berguna kepada keluarga, masyarakat, agama dan negara. Menyedari kepentingan berkenaan, warga pentadbiran dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Maahad Ahmadi menganjurkan program bacaan Yasin untuk pelajar institusi terbabit yang bakal menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Program dianjurkan sempena penganjuran Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2009 itu dihadiri hampir 1,000 jemputan merangkumi ibu bapa, barisan tenaga pengajar, pelajar dan warga pentadbiran Maahad Ahmadi bersama mengalunkan bacaan Yasin dan melakukan Solat Hajat secara bersama.
Pengetuanya, Abdul Rahim Ma’amor berkata, program tahunan itu dijalankan untuk pelajar Maahad Ahmadi yang bakal menduduki peperiksaan sekali gus berdoa kecemerlangan akademik golongan terbabit dan sekolah. Menurutnya, penganjuran program itu diharap dapat memberi ketenangan dan memudahkan pelajar menjawab peperiksaan seterusnya mendapat keputusan cemerlang, selain bersama menikmati juadah hari raya.
“Ini adalah usaha pihak pentadbiran sekolah dan PIBG untuk memberi sokongan sama ada secara langsung atau tidak supaya pelajar yang bakal menduduki peperiksaan tahu bahawa kami sentiasa mengambil berat soal pelajaran dan semua aspek kehidupan anak,” katanya.
Abdul Rahim berkata, penganjuran majlis bacaan Yasin itu bertujuan mengeratkan ukhuwah antara pelajar, ibu bapa, tenaga pengajar serta warga pentadbiran Maahad Ahmadi, walaupun masing-masing sibuk dengan komitmen kerja.
“Semangat ditunjukkan ini baik dan wajar diteruskan pada masa akan datang kerana banyak manfaat diperoleh melalui majlis berkenaan.
“Saya harap masa diluangkan pelajar, ibu bapa, tenaga pengajar dan warga pentadbiran Maahad Ahmadi mendapat keberkatan Allah SWT,” katanya.
Dipetik dari : Sinar Harian 5 Oktober 2009

Bencana Dari Allah

CATEGORY: | 30.9.09
0
Sebuah bot dari Malaloa Marina kelihatan terdampar di pinggir jalan utama di sebuah kampung di Fagatogo, Samoa Amerika selepas ombak tsunami yang berpunca daripada gempa bumi kuat melanda Samoa dan Samoa Amerika awal pagi Selasa. Sekurang-kurangnya 34 orang dilaporkan terbunuh dalam bencana itu.--fotoAP

Satu lagi kekuasaan Allah terhadap manusia selepas kejadian di Filipina dan Vietnam.

Tugas tambahan jejas keupayaan guru

CATEGORY: |
0
Dipetik dari Berita Harian Selasa 29 September 2009

Penambahan jawatan staf sokongan amat penting untuk beri fokus tugas mengajar

AWAL tahun, hari sukan, hari kokurikulum, mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), hari terbuka, musim peperiksaan, pertandingan peringkat daerah dan negeri, minggu suai kenal serta banyak lagi beban kerja yang selama ini terpaksa ditanggung guru sehingga sering kali memberi tekanan kepada mereka.

Guru kini bukan sekadar pengajar, malah semakin kurang dapat memberi tumpuan kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran, walaupun semua pihak menekankan kewajipan itu sebagai skop tugas utama guru di sekolah. Apa tidaknya, jengoklah ke mana-mana sekolah, atau tanyalah kepada mana-mana guru pun, pasti keluhan dan rungutan yang akan kedengaran mengenai tumpuan tugas mereka yang semakin hari semakin membebankan.

Itulah gambaran yang sewajarnya dilihat bagi menceritakan betapa guru kini tidak seperti guru pada satu zaman sebelum ini yang dihormati atas kredibiliti sebagai guru yang tegas dalam menyampaikan pengajaran serta cukup disegani atas kedudukan sebagai gedung ilmu.

Banyak pihak yang mungkin mencebik, menjuih bibir apabila guru merungut mengenai beban yang mereka hadapi. Tak kurang juga yang mengatakan guru ketika ini manja dan banyak 'songeh' serta pelbagai kritikan lagi seperti � 'sudahlah kerja separuh hari, cuti banyak pula, itupun nak merungut'.

Namun, mereka yang kebanyakannya menyalahkan guru dalam isu rungutan itu mungkin tidak peka mengenai situasi sebenar kerjaya itu ketika ini yang bukan sekadar kerap perlu bekerja melebihi masa sepatutnya, malah dibebani dengan longgokan kerja yang ada kalanya tak selesai di sekolah, terpaksa dibawa sehingga atas katil sebelum tidur.

Hampir kebanyakan tugas yang selayaknya diuruskan kerani atau pegawai data kini menjadi tanggungjawab guru. Daripada tugas merekod maklumat murid, data peribadi, keputusan peperiksaan secara manual dan berkomputer, bayaran yuran, rekod pinjaman buku teks, inventori aset sekolah sehinggalah kepada urusan pada peringkat pejabat pendidikan daerah serta jabatan pelajaran negeri.

Justeru, tak wajar guru dulu dan sekarang dijadikan perbandingan kerana pada zaman berteknologi maklumat serba canggih ini, semuanya perlu direkodkan secara berkomputer walaupun rekod bertulis turut perlu dibuat dan yang menyedihkan, bukan semua guru ada komputer atau lebih parah lagi, tak semuanya celik komputer.

Sebagai contoh, setiap tahun guru perlu mengemaskini maklumat murid serta data peribadinya. Tak cukup dengan itu, kutipan yuran perlu dibuat sendiri dan direkodkan dengan kemas. Maklumat lain termasuk rekod pinjaman buku teks dan keputusan peperiksaan perlu dikemas kini segera.

Bagi guru yang ditugaskan mengepalai panitia pula, beban itu ditambah dengan keperluan menyediakan kertas soalan peperiksaan hampir setiap dua atau tiga bulan. Ada pula guru yang mahir sedikit dalam reka bentuk grafik ditugaskan pula menyediakan grafik untuk majalah sekolah.

Tidak perlulah diperincikan semua beban tugas lain yang perlu lakukan kerana realitinya itu bukan tugas utama guru di sekolah, malah tak pernah diajar ketika mereka mengambil kursus perguruan di Institut Pendidikan Guru (IPG). Guru kelas pula pastinya sering merungut setiap kali musim kemas kini data tiba dan mereka ini juga yang kebiasaannya ditugaskan sebagai guru panitia, guru pembimbing rumah sukan serta kelab.

Persoalannya, bukankah semua beban tugas itu sewajarnya dilakukan oleh mereka yang lebih pakar dalam tugas merekod data atau maklumat. Bukankah kerja membabitkan kewangan perlu dilaksanakan kerani kewangan dan perihal data pula diuruskan oleh pegawai data? Memang ada guru data di sekolah, tetapi mereka sebenarnya bukan fokus dalam hal data semata-mata kerana perlu juga mengajar di kelas, malah ada yang perlu mengajar subjek kritikal.

Guru IT pula hanya layak mengajar asas komputer seperti menggunakan perisian Microsoft Word, Powerpoint atau Excel tanpa ada skil membuat sistem data yang lebih memudahkan guru memasukkan maklumat secara pantas dan pengiraan markah peperiksaan dibuat secara berkomputer, malah guru IT juga guru biasa yang perlu mengajar.

Pengerusi Majlis Permuafakatan Kesatuan Guru Malaysia, Jemali Paiman, berkata kementerian wajar mewujudkan satu jawatan baru di sekolah iaitu staf sokongan yang ditugaskan merekodkan data.

"Ketika ini, guru terutama guru kelas adalah mereka yang paling teruk dibebani dengan tugas tambahan selain mengajar dan ia paling kritikal ketika musim persekolahan baru bermula. Ketika itu, guru bukan setakat perlu menyediakan maklumat peribadi pelajarnya tetapi dibebani dengan banyak lagi tugas lain.

"Mereka perlu mengutip yuran, sediakan buku kedatangan pelajar, dapatkan maklumat murid serta keluarga mereka seterusnya membuat analisis kelayakan untuk diberi bantuan, malah guru juga bertindak sebagai pegawai kesihatan yang merekodkan maklumat kesihatan.

"Justeru, penambahan jawatan staf sokongan itu amat penting untuk mengembalikan guru kepada tugas sebenar mereka iaitu mengajar. Mereka perlu fokus untuk pengajaran, bukan dalam kerja pekeranian. Jangan biarkan mereka terus buat banyak kerja lain setiap hari dan pening kepala setiap hujung bulan," katanya.

Jemali turut bersetuju bahawa guru kini bukan sekadar layak digelar kerani tetapi mungkin tukang kebun, pengasuh, pereka grafik, tukang cat dan semua beban kerja yang dilonggokkan ke bahu mereka. Katanya, masa yang lapang hanya dua atau tiga waktu tetapi mengikut pekeliling, ia perlu diisi dengan persiapan mengajar.

"Cuti tahunan atau cuti rehat khas hanya ada tujuh hari. Mana cukup untuk digunakan apabila perlu. Berbeza dengan sektor lain, mereka ada tempoh cuti tahunan lebih panjang dan dapat fokus pada skop kerja mereka.

"Contohnya, mana ada jururawat yang ditugaskan membuat landskap hospital. Mana ada jurutera yang ditugaskan mengecat bangunan pejabat, tapi guru ada ketikanya perlu buat semua itu. malah, mural sekolah atau mengecat bangunan sekolah juga tergalas di bahu mereka," katanya.

Justeru, adalah wajar kementerian memantau apa keperluan dan keperitan yang dihadapi penggerak utama dalam sektor pendidikan di negara ini. Jangan satu hari nanti, kerjaya guru tidak lagi dipandang tinggi lantaran tidak lagi bertindak sebagai penyampai ilmu berkaliber kerana terlalu fokus pada tugas lain.

Gotong Royong Majlis Sambutan AidilFitri

CATEGORY: |
0
HARI ini gotong royong persiapan Majlis Sambutan Aidilfitri sedang berlangsung. Gambar dan berita akan menyusul kemudian..

Tadarus Al Quran 3

CATEGORY: | 17.9.09
0
MINGGU ini merupakan minggu terakhir bacaan tadarus Al Quran guru-guru Maahad Ahmadi yang diadakan setiap hari Isnin, Selasa dan Rabu sempena Ramadhan. Bacaan diteruskan dengan menghayati ayat dari surah Yaasin bermula ayat 70 hingga 83. Dalam membahaskan isi kandungan ayat, guru juga akan didedahkan dengan hukum tajwid bagi setiap ayat yang dibaca.

Sebelum menghuraikan ayat-ayat terakhir surah Yaasin, ingin mengimbas kembali perbincangan yang dibahaskan oleh guru berkenaan isu mimpi. Ia ibarat keadaan sebenar perwatakan kita apabila berkaitan dengan keaiban atau malunya seseorang akibat melakukan maksiat. Digambarkan Nabi Adam dan Hawa dilucutkan pakaian kerana melakukan kesalahan kepada Allah. Pernahkah kita terfikir, apabila sesuatu balasan atau hukuman, Allah jatuhkan serta merta kepada kita. Contoh, jika kita mencuri, maka pakaian kita akan terlondeh dan tahulah orang kita telah melakukan kesalahan. Sebaliknya tidak, kita umat Nabi Muhamad SAW masih diberi hutang oleh Allah untuk bertaubat atau menyesali perbuatan kita. Untungnya dan bertuah kita menjadi umat Nabi Muhamad SAW yang penuh barakah. Sebut tentang berkat, ada juga perbahasan berkaitan pemakaian atau berkat kayu koka. Ada pendapat yang pelbagai namun hakikatnya yang penting adalah niat kita sebenarnya.

Dalam ayat 64, penafsiran bahawa Allah akan mengazab orang kafir bukan kerana mereka itu melakukan kezaliman, menentang Islam tetapi diseksa dan diazab kerana mereka itu kafir dan kufur kepada Allah. Justeru, setiap orang kafir akan diazab dan diseksa hatta mereka berkelakuan baik dan tidak menzalimi umat Islam.

Rangkuman ayat 65-72 menyaksikan kehebatan dan kekuasaan Allah apabila berlaku hari kiamat. Ditunjukkan juga sikap orang kafir yang masih tetap sombong dan angkuh walaupun mengetahui mereka akan dibakar api neraka. Jika difikir secara logik, apabila kita dijatuhi hukuman, seboleh mungkin kita akan merayu tetapi orang-orang kafir ini biadap dan angkuh dengan meminta-minta kepada Allah supaya mereka sendiri menjadi saksi.

Di hari terakhir pengisian tafsir surah yasin, guru mendedahkan tentang sifat redha dan sabar yang menjadi tanda ukur tentang iman dan hati seseorang. Diceritakan juga tentang segala kejadian Allah dibumi akan dijadikan api neraka hatta lautan melalui tafsiran sains dan alam.Wallahu A'lam.

Jadi Pelajar Yang Berjaya - Dato Hasim Rusdi

CATEGORY: | 14.9.09
0

Masjid Lama Kampung Pulau ; PROGRAM I'tikaf Peringkat Negeri Sembilan telah diadakan pada 11 hingga 13 September yang terdiri daripada pelajar-pelajar Sekolah Menengah Agama Kerajaan Negeri Sembilan. Ia membabitkan 8 buah masjid sekitar Negeri Sembilan. Pelajar Maahad Ahmadi beri'tikaf di Masjid Kampung Keru, (Tampin), Masjid Astana Raja (Rembau) dan Masjid Lama Kampung Pulau (Labu).

Program yang diadakan di Masjid Lama Kampung Pulau telah ditutup dengan rasminya oleh YB Dato Hasim Rusdi, EXCO Kerajaan Negeri Sembilan yang juga ADUN Labu. Dalam ucapannya, beliau menyarankan agar pelajar mengambil kesempatan terhadap program yang diadakan sebagai persediaan bermasyarakat kelak.

Beliau juga menyeru agar pelajar menjadi seorang yang berjaya bukan sahaja di dunia malah di akhirat. Oleh itu, persediaan yang mantap dan benteng yang kukuh dapat menghindarkan pelajar dari terjebak gejala yang tidak sihat lebih-lebih lagi dalam keadaan globalisasi yang tiada sempadan maklumat dan amalan.

Majlis penutup diadakan di akhir hari I'tikaf iaitu pada Ahad jam 12 tengah hari. Turut hadir Puan Zawiyah Ibrahim, penyelia Pelajaran JHEAINS, Haji Abas Sidek, Ketua Kampung Labu Hilir dan Imam Masjid Lama Kampung Pulau, Tuan Ismail Abu Samad. Pelajar yang mengikuti program di Masjid Lama Kampung Pulau seramai 42 orang iaitu yang teramai di sesebuah masjid dan di pantau oleh Ustaz Zulkarnain Itam dan Ustaz Mohammad Hilmy Mahmad.

Tadarus Al Quran 2

CATEGORY: | 11.9.09
0

BACAAN tadarus Al Quran guru-guru Maahad Ahmadi setiap hari Isnin, Selasa dan Rabu sempena Ramadhan diteruskan dengan menghayati ayat dari surah Yaasin bermula ayat 41 hingga 52. Dalam membahaskan isi kandungan ayat, guru juga akan didedahkan dengan hukum tajwid bagi setiap ayat yang dibaca.


Dalam ayat 41, Allah SWT menambahkan lagi sebutan tentang tanda-tanda kehebatanNya, bagi membuktikan akan keEsaan Allah. Mari kita imbas kembali ayat-ayat sebelumnya yang menunjukkan kekuasaan Allah, sebagai contohnya, ayat 33, yang bermaksud,"Lihatlah kepada bumi yg kering kontang, Kami bukan sekadar menghidupkan bumi yang kering itu, malah mengeluarkan biji-bijian / buah-buahan, sebahagiannya dimakan oleh manusia sendiri."

Dan satu lagi bukti tanda kekuasaan Allah ialah pada ayat 37, yang bermaksud,"Allah SWT mencabut siang yang terang benderang, tiba-tiba manusia berada dalam kegelapan." Ditambah lagi pada ayat 41, untuk menunjukkan tanda keagungan Allah: maksudnya "Dan satu lagi tanda bukti kepada manusia itu tentang kehebatan Kami, Kami bawa zuriat-zuriat manusia itu dan Kami layarkan zuriat-zuriat manusia itu."

Dalam hal ini, guru membentangkan tentang betapa kecilnya manusia jika nak dibandingkan dengan keagungan Allah. Jadi, tidak perlu kita menjadi seorang yang sombong kerana kita umpama zarah yang amat kecil, boleh ditiup ke mana, boleh dibuang begitu sahaja. Sebagai contoh, kita ingin membersihkan habuk di rumah, tidak memerlukan kuasa yang banyak untuk menghapuskan habuk. Begitu jugalah Allah, Yang Maha Besar lagi Maha Agung. Kita perlu lihat alam yang sebenarnya lebih luas dan terbentang di cakarewala sana.

Maksud firman Allah lagi, "Di dalam sebuah kapal yang sarat dengan muatan. (Kapal yg dimaksudkan di dalam ayat ini, ialah kapal Nabi Allah Nuh A.S. Dan dihuraikan oleh ahli tafsir : 'Dan satu alamat yang lain yang terang bagi manusia, yang menunjukkan atas sempurnanya kudrat Kami, kata Allah,"Sesungguhnya Kami telah membawa nenek moyang manusia yang terdahulu, yakni zuriat keturunan anak-anak Adam, di dalam kapal Nabi Nuh A.s. Dimana Allah
telah mengarahkan supaya Nabi Nuh A.S. membawa di dalam kapalnya itu, setiap sesuatu itu, mesti ada pasangannya.)

Sebab apa Allah SWT mengatakan tentang kapal Nabi Nuh A.S. kerana Dia nanti akan menceritakan perihal kapal-kapal lain di ayat seterusnya : Dalam ayat 42 maksudnya :"Dan Kami ciptakan untuk manusia itu, Seumpama kapal Nabi Nuh A.S. Bukan kapal Nabi Nuh sahaja, kapal-kapal yang lain juga diizinkan oleh Allah. Tanpa keizinan/kekuasaan Allah, tak mungkin kapal itu akan dapat belayar di dalam lautan samudera yg dalam dan jauh luas saujana mata memandang.

Dalam ayat ini, Allah SWT menyuruh kita berfikir, dengan Dia menceritakan dahulu tentang kapal Nabi Allah Nuh. Kemudian baru Allah SWT menukilkan penciptaan kapal-kapal besar yang lain, seumpama kapal Nabi Nuh A.S. Dengan menaiki kapal-kapal besar itu, manusia boleh sampai ke negeri yang jauh. Manakala dalam Ayat 43, maksudnya :"Sekiranya Kami Kehendaki, Nescaya Kami akan karamkan manusia berserta dengan kapal-kapalnya sekali di dalam lautan. Pada ketika, kalau Kami nak karamkan, kalau Kami kehendaki untuk menenggelamkan kapal-kapal besar di dalam lautan itu, Kami boleh! Waktu itu tiada siapa pun yang mampu menyelamatkan mereka.

Untuk yang akhirnya dalam perbincangan tersebut, dihuraikan tentang azab kubur berdasarkan ayat 52: قَالُوا يَا وَيْلَنَا مَن بَعَثَنَا مِن مَّرْقَدِنَا هَذَا مَا وَعَدَ الرَّحْمَنُ وَصَدَقَ الْمُرْسَلُونَ
Mereka berkata, “Aduh celakalah kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari tempat tidur kami (kubur)?”

Inilah yang dijanjikan (Tuhan) Yang Maha Pemurah dan benarlah Rasul-rasul (Nya).(Yaasin: 52)

Dalam Tafsir Ibnu Kathir: Walaupun ada keterangan bahawa orang di alam kubur dalam keadaan tidur lalu dibangunkan, tidak bererti bahawa siksa kubur itu tidak ada. Sebab dibandingkan dengan dahsyatnya azab neraka, azab kubur itu jauh masih lebih ringan. Sehingga hanya seperti orang lagi tidur saja. Dijelaskan di kitab tersebut bahawa setelah disiksa di alam kubur dan sebelum dibangkitkan di hari kiamat, orang-orang akan ditidurkan sejenak. Hal itu sebagaimana disebutkan oleh Ubay bin Ka’ab, Qatadah, Mujahid dan Al-Hasan.

Ini menjawab jika ada persoalan tentang adanya azab kubur atau tidak. Tetapi di akhir perbincangan dalam ayat 41-52 surah Yaasin, kita sebagai manusia perlu muhasabah dan mengelak dari melakukan maksiat kerana dengan melakukan maksiat, diri kita akan diaibkan. Wallahu A'lam.

Perkara Yang Membatalkan Puasa

CATEGORY: | 10.9.09
0
ADA sebahagian dari kita kadang kala malu bertanya tentang hukum. Lebih-lebih lagi jika amalan tersebut bukannya berkala. Contohnya, berpuasa yang diamalkan bukannya setiap hari. Jadi, untuk pengetahuan umum, disertakan perkara yang membatalkan puasa.

Perkara yang membatalkan puasa adalah seperti berikut :

1. Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga badan yang terbuka dengan sengaja, kecuali kerana darurat (seperti inhaler). Ini termasuk makan, minum, merokok. Adapun suntikan ubat, tidak membatalkan puasa.

2. Muntah dengan sengaja.

3. Mengeluarkan air mani dengan sengaja. Keluar air mani melalui mimpi tidak membatalkan puasa.

4. Melakukan jimak (hubungan seks) pada siang hari.

5. Kedatangan haids, nifas dan kelahiran bagi wanita. Lelaki tidak ada kena mengena dengan yang ini.

6. Menjadi gila yang sebenarnya gila. Bukan gila kuasa, gila duit.

7. Pitam sepanjang hari.

8. Mabuk sepanjang hari. Sepatutnya sebagai umat Islam kita menghindarkan diri dari dosa besar.

9. Murtad.

Wallahu A'lam.

Majlis Nuzul Al Quran Dan Berbuka Puasa

CATEGORY: | 8.9.09
0
MAJLIS Berbuka Puasa sempena Nuzul Al Quran telah diadakan dengan jayanya. Walaupun majlis dibuat sederhana, namun ia masih meriah dengan program yang diatur sejak pagi membabitkan pelajar Maahad Ahmadi. Seekor lembu dan dua ekor kambing telah menjadi menu utama dalam kemuncak majlis iaitu berbuka puasa yang turut dihadiri oleh Penolong Pengarah Pelajaran, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Ustaz Ahmad Azhari dan Cikgu Mohamad Alias.

Sebelah pagi diadakan Solat Tasbih, Bacaan Al Quran dan forum yang diketuai oleh Ustaz Zulkarnain Hitam bersama kira-kira 450 pelajar yang berjaya dikhatamkan. Selepas Asar, diadakan ceramah Nuzul Al Quran yang disampaikan oleh Ustaz Azzamudin bin Zainal, Penyelaras KAFA Selangor. Dalam ceramah tersebut, beliau menerangkan tentang keistimewaan Al Quran dan beberapa tips menjadi pelajar cemerlang melalui Al Quran.

Beberapa guru juga terlibat dalam menyediakan menu berbuka puasa yang diketuai oleh Cikgu Yunos pada sebelah pagi.

Tadarus Al Quran

CATEGORY: | 4.9.09
0
BACAAN tadarus Al Quran guru-guru Maahad Ahmadi setiap hari Isnin, Selasa dan Rabu sempena Ramadhan diteruskan dengan menghayati ayat dari surah Yaasin bermula ayat 13 hingga 25. Dalam membahaskan isi kandungan ayat, guru juga akan didedahkan dengan hukum tajwid bagi setiap ayat yang dibaca.

Minggu ini ada kisah yang menarik untuk dikongsi bersama dimana Allah merakamkan satu kisah yang menarik untuk dijadikan teladan dan pengajaran kepada pembacanya. Sepertimana firman Allah SWT :


وَاضْرِبْ لَهُم مَّثَلاً أَصْحَابَ الْقَرْيَةِ إِذْ جَآءَهَا الْمُرْسَلُونَ {13} إِذْ أَرْسَلْنَآ إِلَيْهِمُ اثْنَيْنِ فَكَذَّبُوهُمَا فَعَزَّزْنَا بِثَالِثٍ فَقَالُوا إِنَّآ إِلَيْكُم مُّرْسَلُونَ {14} قَالُوا مَآأَنتُمْ إِلاَّ بَشَرٌ مِّثْلُنَا وَمَآأَنزَلَ الرَّحْمَنُ مِن شَىْءٍ إِنْ أَنتُمْ إِلاَّ تَكْذِبُونَ {15} قَالُوا رَبُّنَا يَعْلَمُ إِنَّآ إِلَيْكُمْ لَمُرْسَلُونَ {16} وَمَاعَلَيْنَآ إِلاَّ الْبَلاَغُ الْمُبِينُ {17}

Bermaksud :

Dan buatlah bagi mereka suatu perumpamaan, iaitu penduduk suatu negeri ketika utusan-utusan datang kepada mereka.(Iaitu) ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang utusan, lalu mereka mendustakan keduanya; kemudian kami kuatkan dengan (utusan) ketiga,
maka ketiga utusan itu berkata:"Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang diutus kepadamu".Mereka menjawab:"Kamu tidak lain hanyalah manusia seperti kami dan Allah Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun, kamu tidak lain hanyalah pendusta belaka."Mereka berkata:"Tuhan kami lebih mengetahui bahwa sesungguhnya kami adalah orang yang diutus kepada kamu. Dan kewajiban kami tidak lain hanyalah menyampaikan (perintah Allah) dengan jelas".

Sesungguhnya ahli sejarah dan ahli-ahli tafsir berselisih pendapat tentang penduduk negeri yang mendustakan para rasul dalam surah Yasin ini. Antaranya berpendapat ia adalah penduduk Antakiyyah sebagaimana nukilan Ibn Ishaq daripada Ibn Abbas dan Ka’ab al-Ahbar.

Ahli Mufassirin juga berbeza pendapat tentang para utusan yang disebut. Ada yang berpendapat mereka adalah pembantu Nabi Isa as ( hawariyyun). Namun demikian Imam Ibn Kathir menolak kedua-dua pendapat ini.

Kita tidak perlu membuang masa menentukan negeri apa atau siapa utusan yang dihantar. Kerana sekiranya diketahui nama negeri tersebut berfaedah kepada kita nescaya Allah telah menyatakannya secara terang di dalam al-Quran. Sesungguhnya al-Quran diturunkan untuk difahami dan dihayati isi kandungan dan diambil pengajaran daripada kisah di dalamnya tanpa perlu ditekankan di mana dan siapa yang terlibat sebagaimana kaedah usul al-tafsir : Pengajaran di dalam al-Quran dengan lafaz umum bukan dikhususkan dengan sebab tertentu.

Pendustaan penduduk Mekah terhadap dakwah Rasulullah saw sama dengan pendustaan penduduk dalam surah ini terhadap dua orang rasul yang diutuskan. Maka Allah menguatkan dakwah mereka berdua dengan diutus seorang lagi rasul. Namun pendustaan penduduk semakin melampau dari semasa ke semasa. Allah berfirman :

قَالُوا إِنَّا تَطَيَّرْنَا بِكُمْ لَئِن لَّمْ تَنتَهُوا لَنَرْجُمَنَّكُمْ وَلَيَمَسَّنَّكُمْ مِّنَّا عَذَابٌ أَلِيمٌ {18} قَالُوا طَآئِرُكُم مَّعَكُمْ أَئِن ذُكِّرْتُم بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ مُّسْرِفُونَ {19}

Mereka menjawab:"Sesungguhnya kami bernasib malang kerana kamu, sesungguhnya jika kamu tidak berhenti (menyeru kami), nescaya kami akan merejam kamu dan kamu pasti akan mendapatkan siksa yang pedih dari kami". Utusan-utasan itu berkata:"Kemalangan kamu itu adalah kerana kamu sendiri. Apakah jika kamu diberi peringatan (kamu mengancam kami)?.Sebenarnya kamu adalah kaum yang melampaui batas.

Mereka menuduh para rasul hanya membawa sial dan musibah kepada mereka. Sekiranya sesuatu keburukan menimpa mereka semuanya berpunca daripada para utusan tersebut. Padahal kesyirikan mereka yang membuat mereka berada dalam nasib malang dengan ditimpa kesusahan dan nikmat terhalang.

Penduduk ini juga mengugut akan membunuh mereka dengan direjam dengan batu dan akan mendapat seksaan yang pedih sekiranya mereka meneruskan dakwah tersebut. Dengan demikian dakwah para utusan ke arah mengesakan Allah dan beribadat hanya kepadaNya ditolak sama sekali.

وَجَآءَ مِنْ أَقْصَا الْمَدِينَةِ رَجُلٌ يَسْعَى قَالَ يَاقَوْمِ اتَّبِعُوا الْمُرْسَلِينَ {20} اتَّبِعُوا مَن لاَّيَسْئَلُكُمْ أَجْرًا وَهُم مُّهْتَدُونَ {21} وَمَالِيَ لآأَعْبُدُ الَّذِي فَطَرَنِي وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ {22} ءَأَتَّخِذُ مِن دُونِهِ ءَالِهَةً إِن يُرِدْنِ الرَّحْمَـنُ بِضُرٍّ لاَّتُغْنِ عَنِّي شَفَاعَتُهُمْ شَيْئًا وَلاَيُنقِذُونَ {23} إِنِّي إِذًا لَّفِي ضَلاَلٍ مُّبِينٍ {24} إِنِّي ءَامَنتُ بِرَبِّكُمْ فَاسْمَعُونِ {25}

”Dan datanglah dari hujung kota seorang lelaki(Habib An Najjar) dengan berkata:"Hai kaumku ikutilah utusan-utusan itu. Ikutilah orang tiada minta balasan kepadamu; dan mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk. Mengapa aku tidak menyembah (Allah) yang telah menciptakanku dan yang hanya kepadaNyalah kamu (semua) akan dikembalikan? Mengapa aku akan menyembah tuhan selainNya, jika (Allah) Yang Maha Pemurah menghendaki kemudharatan terhadapku, nescaya syafaat mereka tidak memberi manfaat sedikitpun bagi diriku dan mereka tidak (pula) dapat menyelamatkanku?. Sesungguhnya aku kalau begitu pasti berada dalam kesesatan yang nyata. Sesungguhnya aku telah beriman kepada tuhanmu; maka dengarkanlah (pengakuan keimanan)ku.

Bila penduduk tersebut merancang untuk membunuh para utusan itu, tiba-tiba datang seorang lelaki daripada pinggir bandar memberi nasihat dengan penuh hikmah kepada penduduknya agar beriman dengan risalah yang dibawa oleh para rasul. Namun demikian penduduk tidak menerima nasihatnya malah lelaki tersebut dibunuh dengan kejam. Ibn Mas’ud berkata : lelaki itu dipijak-pijak hingga terkeluar usus daripada duburnya. Maka mati syahidlah lelaki tersebut.

Siapakah lelaki tersebut? Kebanyakan ulamak tafsir berpendapat lelaki tersebut ialah Habib al-Najjar sebagaimana pendapat Ibn Abbas, Qatadah dan al-Sudiy sepertimana dinukilkan dalam tafsir Ibn Kathir.

Antara keistimewaan kisah dalam al-Quran ialah bukan sahaja menceritakan kisah yang telah berlaku malah dirakam juga perkara ghaib yang mustahil diketahuinya melainkan dengan wahyu Allah SWT. Dalam kisah ini Allah memaklumkan bahawa lelaki yang dibunuh secara kejam hanya semata-mata kerana menyuruh kepada tauhid mendapat kemuliaan di sisi Tuhannya di atas keimanan dan keikhlasannya. Sebagai ganjarannya dia dimasukkan ke syurga. Apabila dia melihat kemuliaan, keampunan dan ganjaran di sisi Allah dia berangan-angan alangkah baiknya sekira kaumnya mengetahui apa yang dia perolehi pada waktu itu nescaya mereka tidak akan menolak risalah para utusan.

Sebagai balasan terhadap pendustaan risalah para rasulNya dan kezaliman yang dilakukan terhadap walinya Allah membinasakan kaum tersebut dengan satu teriakan yang dahsyat menyebabkan mereka semua mati bergelimpangan.

Kisah ini mengandungi banyak iktibar yang boleh dijadikan pedoman hidup kita, antaranya ialah ;

1. Dakwah menegakkan kebenaran perlu diteruskan walaupun mendapat tentangan hebat daripada orang ramai.

2. Dakwah perlu dilaksanakan dengan hikmah dan dengan pengajaran yang baik.

3. Kita hendaklah istiqamah dan berpegang teguh dengan tauhid dan mempertahankannya walaupun menghadapi kesulitan dan kesusahan.

4. Individu dan tempat yang terdapat dalam kisah al-Quran bukan keutamaan untuk diketahui tetapi pengajaran dan iktibar yang perlu diambil perhatian untuk dijadikan pedoman hidup.

5. Sesiapa sahaja yang melakukan pengorbanan untuk mempertahankan agama akan mendapat keampunan dan kemuliaan di sisi Allah SWT.

6. Setiap penderhakaan terhadap Allah pasti akan mendapat balasan sama ada di dunia atau di akhirat.

Wallahu A'lam.

Allahuma Baligna Ramadhan

CATEGORY: | 21.8.09
0

Bola Sepak Persahabatan: Maahad Ahmadi Akur

CATEGORY: | 20.8.09
0
Minggu lalu, skuad bola sepak Kelab Guru Maahad Ahmadi dikalahkan oleh skuad pilihan, ITQAN 3-5 pada perlawanan persahabatan di padang Institut Tahfiz Quran Negeri Sembilan, Gemencheh.

Semalam, skuad Maahad Ahmadi menentang ITQAN dalam perlawanan timbal balik. Guru Maahad hampir mengikat pasukan ITQAN tanpa jaringan dalam aksi persahabatan di padang Maahad Ahmadi, namun jaringan penyerang ITQAN pada saat-saat akhir permainan membolehkan ITQAN mencatatkan kemenangan pada perlawanan kedua persahabatan menewaskan Maahad Ahmadi 1-0.


Sementara itu, pengurus Maahad, Saiful Azmar berkata, dia kehilangan tiga tonggak pemain, Us Shahrizan, Ustaz Nasir dan Ustaz Zulkarnain untuk perlawanan semalam. Menurutnya, mereka terpaksa direhatkan selepas mengalami kecederaan ketika menentang ITQAN minggu lepas.
Namun, katanya, dia tidak bercadang untuk membuat rombakan drastik untuk aksi semalam. Hinggalah pengurus terpaksa menjadi pemain akibat kekurangan tersebut.


Peluang untuk sekurangnya seri wujud, namun akibat off-side oleh Saiful Azmar, peluang terus tertutup. Keputusan penuh agregad Maahad Ahmadi 3-6.


Skuad Guru Maahad: Encik Mazlan, Cikgu Zahari (Khushairi), Cikgu ZUkhainizam, Ustaz Taufik, Encik Ibrahim (Ustaz Hilmy), Cikgu Kamarul, Ustaz Marzuki, Cikgu Zairul, Ustaz Khedr (Cikgu Saiful), Cikgu Mohamad, Encik Khairul.

Doa Keselamatan Dari Segala Penyakit

CATEGORY: | 19.8.09
0
JABATAN Mufti Kerajaan Negeri Sembilan telah mengeluarkan doa yang boleh diamalkan oleh umat Islam di Malaysia untuk memohon keselamatan dari sebarang penyakit. Doa ini dipanjang oleh bekas mufti Negeri Sembilan, YBhg Dato Hj. Murtadza bin Hj. Ahmad, kini Syeikh Tarikat Ahmadiah Al - Idrisiyyah Ar-Rasyidiyyah Al - Dandarawiyyah.

Sila Klik :
DOA ELAK PENYAKIT

Percubaan SPM Bermula

CATEGORY: | 17.8.09
0
HARI ini pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009, memulakan 'peperangan' dalam menghadapi SPM kelak. Bermula hari ini sehingga 16 September, peperiksaan percubaan SPM akan ditempuhi oleh mereka. Walaupun berhadapan dengan peristiwa wabak H1N1, diharap pelajar calon SPM dapat menjaga kesihatan dan dapat menjawab soalan dengan tenang dan baik.

Pelajar Balik Kampung

CATEGORY: | 14.8.09
0
PELAJAR Maahad Ahmadi yang menghadapi 'serangan' wabak H1N1 dibenarkan pulang ke rumah bercuti hujung minggu bagi meredakan keadaan. Ini berikutan ramai yang diberi cuti sakit oleh pihak berkuasa kesihatan tempatan. Kehadiran pelajar juga merosot menyebabkan p&p sedikit terganggu.

Pelajar dikehendaki kembali semula ke asrama pada Ahad seperti biasa kecuali kepada mereka yang demam, batuk dan selsema. Manakala pelajar SPM dan STAM akan menghadapi peperiksaan percubaan pada Isnin ini. Diharap semua pelajar dapat memberi perhatian yang sewajarnya.

Bolasepak Persahabatan

CATEGORY: |
0
12 Ogos; ITQAN: KELAB Guru Maahad Ahmadi telah mengadakan perlawanan persahabatan dengan guru dan pelajar Institut Tahfiz Quran Negeri Sembilan. Perlawanan persahabatan telah diadakan di padang ITQAN yang bermula jam 5.40 petang.

Pasukan Maahad Ahmadi yang terdiri dari guru-guru bersemangat dalam menghadapi perlawanan persahabatan pertama tahun ini yang diketuai oleh pengurus, Cikgu Saiful Azmar. Pasukan Maahad Ahmadi beberapa kali melakukan serangan balas yang mencemaskan pertahanan ITQAN terutama pada separuh masa kedua. Penyerang berbisa guru Maahad Ahmadi, Ustaz Khedr yang berasal dari Mesir berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan ITQAN.

Perlawanan berakhir pada jam 7 petang berkesudahan pasukan Maahad mampu menyaingi pasukan handalan ITQAN dengan 3-5.

Senarai pemain Maahad Ahmadi :
Encik Mazlan, Cikgu Zahari, Ustaz Taufik (Ustaz Khedr), Cikgu Zukhainizam, Ustaz Nasir, Encik Ibrahim (Ustaz Marzuki), Ustaz Zulkarnain (Ustaz Hilmy), Cikgu Kamarul, Cikgu Mohamad, Ustaz Khirman dan Ustaz Shahrizan

H1N1: Munajat Pada Ilahi

CATEGORY: | 13.8.09
0

12 Ogos; MAAHAD Ahmadi telah mengadakan bacaan Yaasin, solat dhuha dan solat hajat bagi memohon perlindungan kepada Allah. Ini berikutan penularan penyakit H1N1 yang menyebabkan lebih kurang 100 pelajar mendapatkan rawatan akibat demam, selsema dan batuk.

Selepas selesai solat, pelajar dan guru mengadakan gotong royong membersihkan kawasan persekitaran sekolah dengan menggunakan anti-septik seperti dettol.

Pada sebelah petang, diadakan taklimat kesihatan yang disampaikan oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Gemencheh, Dr Norzaliza Razali.


Diharap dengan usaha, doa dan tawakal, penyakit ini dapat dihindarkan dari bumi Maahad Ahmadi.

Bila Ramadhan Tiba..

CATEGORY: | 12.8.09
0


Saban tahun kau pasti datang lagi,
Ramadhan, mempertingkatkan ibadah
Bermula puasa itu dari Mu, ya Allah
Pasrah pada rahsia balasan tanpa gundah.

Sinarmu mengawal hati meredup perasaan,
Ramadhan, menghamburkan nikmat
Di sebalik pulas lapar, kering dahaga
Selang-seli panca-indera dan jiwa raga.

Ada yang hanya mencari Bazar ramadhan,
Bila berbuka, bazir begitu sahaja,
Sudah letih, terus tidur.
Esok dibuatnya lagi.

Setiap saat bagaikan lama,
Duduk tidak diam,
Hati gundah gelana,
Takut buka, digelak budak.

Ramadhan, ada yang sujud bersungguh,
Bersaksi hanya untuk Mu, oh Tuhan
Bermunajat untuk segala doa dan niat
mendekati lebih dari diri dan zat.

Ramadhan, berdetik setiap saat dengan taqwa,
mengikat rentak riak, menangkis cabaran mata
Berpanjangan niat siang dalam berpuasa
Berpantangan diri dari yang diharamkan Nya.

Ramadhan, dalam takwa tersemat gembira
Dalam tadarus bergetar jiwa raga
Menjadikan aku insan kerdil tapi mulia
Menagih segunung rahmat dan pahala.

Gambar Sekitar Kursus Perkembangan Staf Maahad Ahmadi

CATEGORY: | 10.8.09
0

Syaaban Persiapan Sebelum Ramadhan

CATEGORY: | 6.8.09
0
KINI kita sudah memasuki bulan Syaaban dimana merupakan bulan yang disebut sebagai bulan Nabi Muhamad S.A.W. Kita biasa mendengar berkaitan dengan kelebihan yang ada pada bulan Syaaban iaitu pada malam pertengahan bulan atau Nisfu Syaaban. Ini merupakan satu isyarat jelas kepada umat Islam bahawa tidak lama lagi akan berhadapan dengan bulan Ramadhan yang mulia.

Di samping itu, elok juga di bulan Syaaban ini kita membuat persiapan menyambut ketibaan bulan yang penuh barakah iaitu Ramadan. Pada kebiasaannya umat Islam menghias rumah dan membuat persiapan awal bagi menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri sebaliknya persiapan Ramadan tidak diambil berat. Sedangkan hari raya cuma sehari, puasa Ramadan pula sebulan lamanya. Sebaiknya bulan Syaaban dibuat persediaan bagi menempuh Ramadan. Bulan Syaaban juga elok dijadikan saat untuk bertaubat dan memohon keampunan Allah dan berdoa agar dikurniakan sifat istiqamah serta kesihatan supaya dapat menghayati sepenuhnya bulan Ramadan yang bakal tiba. Ketibaan bulan Syaaban seharusnya disambut dengan azam dan komitmen untuk meningkatkan keimanan kepada Allah dengan memperbanyakkan amalan dan kebajikan. Sebabnya hidup seorang muslim hendaklah sentiasa berubah kepada keadaan yang lebih baik daripada sebelumnya. Sebagai Muslim sewajarnya kita mengetahui apakah kelebihan bulan Syaaban agar ketibaannya dapat dihayati dengan sebaiknya. Keistimewaan ini juga menunjukkan kepada kita bagaimana Islam sangat mementingkan soal masa. Menyentuh tentang kelebihan bulan Syaaban terdapat beberapa hadis sahih yang menjelaskan tentangnya.
Berkenaan dengan hikmah atau rahsia menunaikan ibadah di bulan Syaaban, terdapat hadis-hadis sahih yang menceritakannya.

Antaranya:Usamah bin Zaid berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah aku tidak pernah melihat engkau berpuasa sebulan seperti mana kamu berpuasa pada bulan Syaaban. Jawab Nabi SAW: Itulah bulan di mana manusia mengabaikannya iaitu bulan antara Rejab dan Ramadan (Syaaban). Ia adalah bulan di mana segala amalan akan diangkat kepada Tuhan sekelian alam dan aku suka amalanku diangkat dalam keadaan aku berpuasa. (riwayat Nasai dan Ahmad)

Demikianlah beberapa hadis yang menunjukkan kelebihan bulan Syaaban dan pertengahan bulan Syaaban atau Nisfu Syaaban sebagai pintu masuk kepada ketibaan bulan yang lebih istimewa iaitu Ramadan.

Marilah kita jadikan Nisfu Syaaban bukan sekadar persiapan menghadapi Ramadhan, tetapi sebagai satu isyarat agar kita bersedia dengan bermuhasabah dan merenung segala amalan yang pernah kita lakukan. Gunakan peluang pada hari-hari terakhir Syaaban untuk kita bertaubat, berzikir, melakukan solat tahajud dan memohon keampunan dari Allah mudah-mudahan Ramadhan yang bakal kita tempuhi, akan menyinari hidup kita kelak.

Penilaian Tingkatan Tiga Bermula

CATEGORY: | 5.8.09
0

3 Ogos ; PERCUBAAN Penilaian Menengah Rendah sudah bermula sejak 3 Ogos dan berakhir pada 7 Ogos ini. Pihak sekolah mengharapkan semua calon PMR berjaya dalam menghadapi ujian ini.

Semoga calon PMR 2009 selamat dalam menduduki peperiksaan dan mencipta sejarah sekolah ini dengan keputusan yang cemerlang.

Selamat Menduduki Peperiksaan Percubaan PMR dan Berjaya.

Sekolah Ganti

CATEGORY: | 25.7.09
0
HARI ini merupakan sekolah gantian sempena cuti Aidilfitri yang akan datang. Ini merupakan cuti gantian yang ketiga selepas cuti pada hari Sukan Sekolah dan Gotong Royong Perdana.

Pada hari ini juga diadakan pertemuan tiga penjuru antara guru, ibu bapa penjaga serta anak bagi membincangkan masalah, tindakan, nasihat untuk kebaikan pelajaran anak-anak Maahad Ahmadi.

Israk dan Mikraj

CATEGORY: | 21.7.09
0
Kini kita berada di penghujung bulan Rejab 1430 Hijrah. Bulan berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj keatas Nabi Muhammad S.A.W pada tahun kesebelas selepas kenabian Baginda S.A.W. Pada malam tersebut Allah S.W.T telah memperjalankan Baginda daripada Masjid Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin. Seterusnya Baginda diangkat ke langit untuk bertemu dengan Allah S.W.T dan kembali semula ke Mekah dalam masa satu malam sahaja.

Salah satu fakta menggambarkan perjuangan dakwah Rasulullah SAW adalah peristiwa Israk dan Mikraj yang sentiasa diingati setiap Rejab. Walaupun ada beberapa pandangan berbeza menentukan tarikh sebenar peristiwa itu seperti dilaporkan kitab Al-Rahiq Al-Makhtum karangan al-Mubarakfuri.

Firman Allah S.W.T didalam surah al-IsraK ayat 1 yang bermaksud :
"Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang kami berkati sekelilingnya untuk diperlihatkan kepada-Nya tanda kekuasaan kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui".

Ketika memperingati peristiwa naiknya Rasulullah SAW menghadap Allah, sememangnya ilmu dan penghayatan kita akan terus bertambah dalam menjalankan ibadat solat kerana kita sentiasa menambah baik maklumat sedia ada dengan maklumat baru dalam al-Quran dan hadis.

Salah satu bentuk pengajaran dapat kita lihat melalui perintah Allah mengenai solat. Dengan ilmu mengenai solat maka jalan mengenal Allah sudah kita fahami dan seterusnya hubungan ini akan sentiasa erat dan akrab. Akhirnya, ujian apapun yang menghadang di setiap simpang jalan dakwah tidak dirasai terlalu berat kerana hati sentiasa menikmati kemanisan berdekatan dengan Allah.

Sesungguhnya peristiwa Israk dan Mikraj Nabi SAW adalah musafir terbaik pernah dialami Baginda. Ia ibarat hadiah bernilai yang bermatlamatkan menghapus kesedihan demi kesedihan Rasulullah SAW selepas pemergian Abu Talib dan Khadijah.

Bukan hanya itu, tragedi keganasan dan penolakan dakwah dilakukan penduduk Taif kepada Rasulullah SAW dan Zaid bin Harithah menjadi ujian terhebat yang menumpahkan darah Nabi SAW sehingga kasut Baginda dibasahi darah.

Hal itu tidak menjejaskan hikmah di sebalik peristiwa Israk dan Mikraj sebagai panduan bagi mereka yang berjalan di atas jalan dakwah.

Melalui perjalanan Rasulullah SAW naik ke tempat tertinggi bagi menerima titah amanah Allah yang mewajibkan sembahyang lima waktu sebagai ikatan kukuh antara hamba dengan Penciptanya, sesungguhnya ia memberi gambaran kepentingan ibadah ini.

Tinggalkan Maksiat, Ikuti Syariat : Nik Nur Madihah

CATEGORY: | 14.7.09
0

11 Julai : SABTU malam menyaksikan Dewan Ibn Sina bergema dengan kehadiran pelajar cemerlang Malaysia SPM 2008, Nik Nur Madihah. Beliau datang bersama ayah beliau, Encik Mohd Kamal.

Dalam siri nasihat dan motivasi kepada lebih 700 pelajar Maahad Ahmadi, beliau menekankan betapa pentingnya diri setiap individu pelajar muslim memelihara diri serta persekitaran dari terjebak melakukan maksiat sama ada kecil mahupun besar. Rahsia kejayaan hanyalah berpegang dan menjaga hubungan dengan Allah serta dengan manusia. Setiap tingkahlaku dan pegangan mesti kukuh seperti pelajar muslimah yang mesti kekal berpegang dengan pakaian sempurna yakni menutup aurat dan memakai tudung labuh walaupun sudah tamat persekolahan. Ini kerana banyak ujian yang akan ditempuhi dalam mengharungi hari-hari mendatang.

Jika kita lihat senario sekarang, pemakaian pelajar perempuan Maahad Ahmadi sudah berubah dengan melihat mereka datang untuk mengambil sijil ataupun surat berhenti sekolah.

Majlis bersama Madihah turut dihadiri oleh Ustaz Abd Rahim, pengetua Maahad Ahmadi serta guru-guru Maahad yang tinggal sekitar Gemencheh. Antara tips yang disampaikan oleh Madihah adalah :

1. Jaga batasan pergaulan.

2. Menjaga hubungan dengan Allah dan sesame manusia.

3. Adab terhadap guru.

4. Tidak malu bertanya.

5. Membentuk kumpulan belajar.

6. Sentiasa berdoa kepada Allah.

PPSMI Mansuh 2012

CATEGORY: | 9.7.09
0
TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan dimansuhkan mulai tahun 2012. Menurut beliau antara punca dimansuhkan adalah kerana kemerosotan pelajar dalam dua subjek tersebut sejak 2007.

Disamping itu, strategi serampang dua mata diambil dengan memperkukuhkan bahasa Malaysia dikalangan pelajar dan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dikalangan pelajar.

Kursus Perkembangan Staff 2009

CATEGORY: | 6.7.09
0
3 - 5 Jul;Ulu Beranang: UNIT Kurikulum dengan kerjasama Kelab Guru telah menganjurkan program Kursus Perkembangan Staf 2009 bertempat di Excel Training Resort, Ulu Beranang. Program ini diadakan selama 3 hari 2 malam berobjektif merapatkan silaturahim dan mempereratkan jalinan kerjasama sesama guru dan kakitangan Maahad Ahmadi.

Program dimulakan dengan ceramah dari Dr Azizan Ahmad, pensyarah kanan Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau membentangkan tajuk berkaitan 'Pengurusan Stress'.

Hari kedua, merupakan acara outdoor yang melibatkan permainan paint-ball, berkayak, sumpit, fying-fox, mencari botol dalam air dan pelbagai lagi.

Hari terakhir diadakan permainan berkonsep yang dikendalikan oleh Ustaz Zulkarnain Itam serta muhasabah. Majlis penutup diadakan sejurus selesai muhasabah. Program berakhir kira-kira jam 2.15 petang.

Taklimat Bersama YB Dato Mat Ali Hassan

CATEGORY: | 2.7.09
0
Wisma Negeri; 1 Julai : SERAMAI 16 orang guru Maahad Ahmadi telah diserapkan ke dalam jawatan tetap Perkhidmatan Pendidikan DG41. Satu taklimat telah diadakan di Bilik Gerakan Negeri bersama YB Dato' Mat Ali bin Hassan, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan.

Dalam ucapan Dato' SUK, beliau merakamkan jutaan tahniah diatas perlantikan sebagai guru tetap setelah sekian lama menjadi guru sandaran. Beliau dalam intipati yang sangat penting, menekankan peranan penjawat awam supaya meningkatkan produktiviti seperti yang disarankan oleh YAB Menteri Besar. Beliau juga menyeru agar guru-guru yang dilantik mengikut kehendak Kerajaan Negeri Sembilan yang perlu dipatuhi dan disesuaikan agar tidak bercanggah walaupun berbeza pendapat. Ini supaya objektif kerajaan Negeri Sembilan dapat dicapai dengan jayanya. Beliau turut menyentuh berkenaan isu berkenaan SMASKP yang dalam pertimbangan untuk diserahkan menjadi SABK.

Turut hadir dalam taklimat tersebut adalah Ustaz Selamat Paigo, Pemangku Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.

Pindaan Hari Kelepasan Am

CATEGORY: | 22.6.09
0
KERAJAAN Negeri Sembilan telah mengeluarkan warta kerajaan no 154 bertarikh 26 Mac 2009 bahawa Hari Keputeraan DYMM Tuanku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada 19 Julai 2009 (Ahad) adalah dibatalkan.

Imtihan E'dadi dan Thanawi 2009

CATEGORY: | 16.6.09
0
SETELAH berakhirnya peperiksaan pertengahan tahun akademik, pelajar Maahad Ahmadi kini 'bertarung' kembali selepas pulang bercuti selama dua minggu untuk menghadapi imtihan E'dadi dan Thanawi Pertengahan Tahun 2009.

Mereka akan mula menduduki peperiksaan pada 16 hingga 18 Jun. Semoga berjaya.

Maahad Ahmadi Juara Keseluruhan MASKAN 2009

CATEGORY: | 29.5.09
0
28 Mei - Maahad Ahmadi : MAAHAD Ahmadi berjaya merangkul juara keseluruhan dalam Majlis Sukan dan Kebajikan Sekolah Menengah Agama Negeri Sembilan kali ke 18. Maahad Ahmadi juga berjaya merangkul juara bahagian Sukan dan johan bahagian Ilmiah yang diadakan bermula 21 April lalu.

Majlis penutup selamat disempurnakan oleh YB Dato Kamil Abd Aziz, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Gemencheh.

Imtihan Pertengahan Tahun 2009

CATEGORY: | 21.5.09
0
Assalamualaikum. Anak-anakku para pelajar sekalian.

Perjalanan sesi pengajian 2009 hampir sampai separuh jalan. Semoga apa saja ilmu yang diperolehi selama perjalanan ini dapat dimanfaatkan untuk meneruskan perjalanan seterusnya. Bagi mengenalpasti ilmu yang diperolehi tidak tercicir dalam perjalanan dan dapat dimanfaatkan di akhir perjalanan nanti, pengujian perlu dibuat.

Sebagaimana lazimnya, Imtihan Pertengahan Tahun akan diadakan sebelum cuti pertengahan tahun menjelang. Harapan pihak sekolah adalah agar para pelajar dapat membuat persediaan sepenuhnya dan jangan lagi mereka-reka alasan lagi bila didapati markah pencapaian nanti tidak memuaskan. Biasanya berbagai alasan diberikan; markah silap, masih awal lagi, belum buat pecutan lagi, dan lain-lain lagi. Ambillah iktibar dari ketewasan si arnab di tangan sang kura-kura. Gunakan segala strategi yang halal untuk menang, jauhi taktik-taktik kotor untuk menang. Semoga segala usaha kita diberkatiNya. Aamiin.

Rancangkan kemenangan, insyaa'allah kita menang.

MASKAN : Bahas Bahasa Arab

CATEGORY: | 7.5.09
0
7 Mei - Pusat Sumber Sekolah Maahad Ahmadi : MAAHAD Ahmadi sebentar tadi berjaya mengalahkan pasukan Sekolah Menengah Agama Sains Selaru dalam pusingan awal Bahas Bahasa Arab MASKAN 2009

SKBK Tertarik Dengan Maahad Ahmadi

CATEGORY: |
0
6 Mei - Maahad Ahmadi : SERAMAI 40 pelajar Sekolah Kebangsaan Batu Kikir, Jempol telah mengadakan lawatan ke Maahad Ahmadi. Mereka hadir untuk mendengar keistimewaan yang ada pada Maahad Ahmadi. Rombongan yang diiringi seramai 8 orang guru menaiki 2 buah bas selamat tiba kira-kira jam 12 tengah hari. Mereka disambut sendiri oleh Pengetua Maahad Ahmadi, Ustaz Abd Rahim bin Maamor. Turut hadir, Penolong Kanan Akademik, Ustaz Shahrizan, Ustazah Khairah selaku penolong kanan Hal Ehwal Murid.

Taklimat diberikan di Pusat Sumber Sekolah oleh Pegawai Teknologi Maklumat Maahad Ahmadi, Puan Nadiawati Abd Mois. Guru dan pelajar Sekolah Kebangsaan Batu Kikir diberi penerangan tentang kemudahan, syarat kemasukan, staf warga pendidik Maahad Ahmadi. Selesai taklimat, mereka dijamu dengan hidangan makan tengahari di Dewan Selera Maahad Ahmadi.

Artikel: Penilaian baru jadikan tugas guru makin mencabar

CATEGORY: | 24.4.09
0

Oleh Zainor Said

JIKA segala-galanya berjalan seperti yang dirancang, mulai tahun depan Kementerian Pelajaran akan melaksanakan sistem baru dalam membuat penilaian terhadap prestasi pelajar iaitu Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK), bermula dengan murid tahun satu.

Menerusi sistem baru itu, prestasi pelajar bukan saja dinilai berasaskan peperiksaan, malah turut mengambil kira aspek rohani, jasmani dan emosi secara bersepadu termasuk pembabitan mereka dalam kegiatan kokurikulum. Matlamat kementerian adalah untuk mengubah sistem penilaian sekarang yang dikatakan terlalu berorientasikan peperiksaan kepada usaha untuk mencungkil potensi serta bakat pelajar dalam bidang dan kemahiran lain.

Penilaian berasaskan sekolah dari tahun satu hingga enam meliputi 70 peratus daripada markah keseluruhan, manakala baki 30 peratus lagi adalah menerusi peperiksaan UPSR yang bakal mereka duduki pada 2015. Di peringkat PMR pula markah penilaian berasaskan sekolah merangkumi 50 peratus dan baki 50 peratus lagi menerusi peperiksaan PMR. Sementara di peringkat SPM pula, 30 peratus adalah markah penilaian berasaskan sekolah dan 70 peratus lagi menerusi peperiksaan SPM.

Langkah baru Kementerian Pelajaran itu adalah satu daripada usaha transformasi pendidikan untuk melahirkan modal insan serba boleh dan holistik. Kerajaan bukan saja mahu melahirkan pelajar cemerlang akademik tetapi juga memiliki kemahiran lain seperti bijak berkomunikasi, bergaul, berakhlak, kreatif dan berpengetahuan luas.

Buat masa ini, Kementerian Pelajaran sudah menjalankan projek perintis di beberapa sekolah terpilih untuk menguji keberkesanan sistem itu. langkah itu memberi mesej jelas kepada kita bahawa setiap projek sekiranya sudah melalui tempoh percubaan di beberapa sekolah bermakna ia hampir pasti akan dilaksanakan.

Umum bersetuju bahawa sistem pendidikan hari ini terlalu menekankan peperiksaan kerana hanya dengan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan saja akan membolehkan seseorang pelajar mendapat laluan mudah sehingga ke peringkat universiti. Mereka juga ditawarkan pembiayaan pengajian berdasarkan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan. Sebab itulah tumpuan sebahagian besar ibu bapa adalah ingin memastikan anak mereka berjaya merangkul semua A atau markah cemerlang dalam peperiksaan yang diduduki.

Sistem yang bakal dilaksanakan itu mempunyai sedikit persamaan di peringkat pengajian tinggi. Markah penilaian mahasiswa bukan bergantung seratus peratus pada peperiksaan akhir tahun yang mereka duduki kerana sebahagiannya sudah diagihkan, sama ada menerusi kerja kursus dan sebagainya.

Bagaimanapun ibu bapa tidak harus beranggapan bahawa dengan kurangnya peratusan markah di peringkat peperiksaan UPSR, PMR atau SPM bermakna anak mereka tidak perlu belajar atau melakukan ulang kaji seperti yang dilakukan sekarang.

Apa yang membezakan dengan sistem sekarang ialah tekanan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan pada tahun enam, tingkatan tiga dan tingkatan lima itu berkurangan kerana sebahagian daripada markah mereka sudah diperoleh ketika mereka berada di tahap sebelumnya menerusi ujian bulanan, kegiatan kokurikulum serta aktiviti akademik berbentuk kajian yang diberikan oleh guru sebelum ini.

Bagi melaksanakan sistem penilaian berasaskan sekolah ini kita tidak dapat lari daripada menagih komitmen tinggi daripada semua guru di semua peringkat daripada tahun satu hinggalah ke tingkatan lima. Merekalah yang menjadi penentu berjaya atau gagalnya sistem ini kerana setiap guru memainkan peranan penting dalam membuat penilaian terhadap murid masing-masing.

Kita bukannya mahu memperkecilkan kewibawaan dan kemampuan guru tetapi dengan bilangan murid yang semakin ramai, sehingga sesetengahnya ada yang melebihi 40 orang dalam satu kelas, tugas serta tanggungjawab guru menjadi semakin berat dan mencabar. Apatah lagi apabila diberi tanggungjawab membuat penilaian penting prestasi murid seterusnya memberi markah yang merupakan sebahagian daripada skor keseluruhan murid dalam peperiksaan UPSR, PMR dan SPM.

Kita harap setiap guru harus dilengkapi dengan kemahiran dan kepakaran tertentu mulai sekarang supaya mereka dapat melaksanakan tanggungjawab baru itu dengan berkesan seterusnya membantu kerajaan melahirkan modal insan kelas pertama. Kementerian juga harus memberi mesej jelas kepada guru apakah matlamat yang ingin dicapai agar sistem penilaian berasaskan sekolah ini dapat dilaksanakan dengan berjaya tanpa protes dan bantahan daripada mana-mana pihak seperti yang berlaku terhadap Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Biarlah sistem baru ini, kita bukan saja berjaya mengurangkan tekanan yang dihadapi murid, tetapi penting juga bagi kita mengurangkan tekanan yang dihadapi guru serta ibu bapa. Sekiranya guru diserahkan tanggungjawab yang terlalu banyak, kita bimbang mereka tidak mampu memberi fokus kepada tugas hakiki iaitu mengajar, sehingga boleh menjejaskan kualiti kerja yang mereka hasilkan.

Sebagai bapa, penulis juga mempunyai anak yang menduduki peperiksaan di pelbagai peringkat. Penulis yakin setiap ibu bapa melalui perasaan sama apabila anak mereka bakal menghadapi peperiksaan, walaupun ia hanya di peringkat UPSR. Oleh itu, setiap ibu bapa yang anak mereka bakal menjejak kaki ke alam persekolahan tahun depan, eloklah bersedia mulai sekarang. Sekurang-kurangnya mengambil tahu tentang sistem baru yang bakal dilaksanakan Kementerian Pelajaran.- Berita Harian 24 April 2009

Maahad Terbakar?

CATEGORY: | 22.4.09
0

PASUKAN Bomba dan Penyelamat Tampin telah bergegas memasuki kawasan sekolah Maahad Ahmadi kira-kira jam 9 pagi tadi. Guru dan pelajar berasa panik dan bergegas lari ke padang berhadapan dewan sekolah setelah loceng amaran dibunyikan. Jentera bomba yang memasuki kawasan sekolah terus bergerak ke kawasan 'kebakaran'.

Semua ini adalah latihan yang dibuat oleh Pengurusan Asrama Maahad Ahmadi bagi memastikan pelajar peka terhadap sesuatu bencana terutama kebakaran. Latihan ini mendapat kerjasama dari pihak Bomba dan Penyelamat Tampin yang datang membantu memberi taklimat dan membuat demonstrasi memadam kebakaran.

Latihan berakhir kira-kira jam 10 pagi. Terima kasih kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Tampin yang sudi membantu pihak sekolah dalam menjalani latihan kebakaran.

Maskan Kini Kembali!!

CATEGORY: | 20.4.09
0
klik imej untuk ke laman web MASKAN 2009


Johan Berzanji dan Tilawah Al Quran Peringkat Negeri Sembilan

CATEGORY: | 13.4.09
0
11 April, SBPI Jempol : MOHD Husaini bin Mahmor berjaya mewakili Negeri Sembilan dalam pertandingan Majlis Tadarus Al Quran Peringkat Negeri Sembilan. Beliau telah berjaya menjadi johan dalam acara Tilawah Al Quran dan menewaskan tujuh peserta yang mewakili daerah. Manakala acara berzanji yang buat pertama kali diadakan semula menaikkan nama Maahad Ahmadi apabila berjaya meraih gelaran sulung acara tersebut. Mereka akan mewakili Negeri Sembilan ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Perak kelak.

Azman Syah : Solat Wanita di Tingkat Atas

CATEGORY: | 8.4.09
0
Majoriti artikel dalam blog saya ini seputar isu wanita. Tak tahu kenapa. Apapun menyentuh perihal wanita dalam perbincangan ilmiah dan fiqh sememangnya satu perkara yang terpuji sebagai ganti daripada perbahasan wanita yang selama ini hanya banyak difokuskan sebagai bahan pelaris iklan, objek kecantikan, model muka depan majalah dan sewaktu dengannya. Secara tak langsung wujud satu gambaran bahawa Islam begitu mengambil berat tentang urusan wanita dan ini bermakna mengangkat martabatnya ke suatu tahap yang telah ditetapkan Allah dan Rasul. Tidak sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh barat dan orientalis bahawa wanita dizalimi Islam.

Isu kali ini mengaitkan tentang perbahasan wanita berhubung solat. Iaitu persoalan wanita yang bersolat di bahagian atas masjid atau surau (aras wanita di atas aras imam dan makmum lelaki). Hal menimbulkan beberapa perbahasan, iaitu :

A) hukum keadaan makmum yang terpisah tempat atau terputus saf (kerana dihalangi oleh sesuatu seperti sungai, jalan raya dinding atau disebabkan oleh struktur bangunan.

B) keadaan makmum yang lebih tinggi dari imam.

C) keadaan makmum wanita yang mungkin sejajar atau terkehadapan sedikit dari makmum lelaki yang berada di tingkat bawah.

Artikel lanjut sila klik dibawah:
http://maahad-ahmadidaily.blogspot.com/2009/04/azman-syah-solat-wanita-di-tingkat-atas.html

Datuk Mohd Yusof Ahmad, Mufti Negeri Sembilan Yang Baru

CATEGORY: | 2.4.09
0
SEREMBAN, 1 April (Bernama) -- Datuk Mohd Yusof Ahmad dilantik sebagai Mufti baru Kerajaan Negeri Sembilan berkuatkuasa hari ini.

Mohd Yusof, 64, menggantikan Datuk Mohd Murtadza Ahmad yang tamat tempoh kontrak perkhidmatannya pada 31 Dis 2008.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Mat Ali Hassan dalam satu kenyataan berkata pelantikan Mohd Yusof itu setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Mohd Yusof berkelulusan Master Perundangan Syariah dari Universiti Al-Azhar, Mesir.

Beliau mempunyai pengalaman dalam bidang pendidikan dan pentadbiran Islam dan pernah bertugas sebagai pengetua Maktab Perguruan Islam, Bangi, Selangor.

Selepas bersara pada 2000, beliau meneruskan kegiatan dalam bidang dakwah Islamiah dan kemasyarakatan.

Mohd Yusof yang berasal dari Kampung Masjid Tua, Air Mawang, Johol, mendirikan rumahtangga bersama Datin Pahariah Jamaludin dan dikurniakan enam orang anak.

-- BERNAMA

Pihak Maahad Ahmadi mengucapkan tahniah dan percaya di atas kewibawaan Dato Yusof sebagai mufti kerajaan Negeri Sembilan.

Maahad Ahmadi Juara Keseluruhan Tampin

CATEGORY: | 31.3.09
0
28 Mac - SMK Tunku Abd Rahman, Gemas : MAAHAD Ahmadi berjaya merangkul Johan Keseluruhan Majlis Tilawah dan Al Quran (MTAQ) Peringkat Daerah Tampin yang diadakan di Sek. Men. Kebangsaan Tunku Abd Rahman, Gemas. Pasukan Maahad Ahmadi berjaya menjadi johan dalam lima acara. Acara tersebut adalah tilawah Al Quran lelaki dan perempuan, hafazan perempuan, berzanji dan forum. Manakala tiga peserta Maahad Ahmadi hanya sekadar berada di tempat ketiga iaitu hafazan lelaki, syarahan lelaki dan perempuan.

Mereka akan mewakili daerah Tampin ke peringkat Negeri yang akan diadakan di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Jempol pada 11 April akan datang. Semoga mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghadapi pertandingan di peringkat negeri nanti.

Majlis Penutup KEMBAQ

CATEGORY: | 30.3.09
0
28 Mac -Dewan Ibn Sina : KEM Bahasa Al Quran, Maahad Ahmadi (KEMBAQ) telah berjaya menamatkan kursus intensif pelajar E'dadi 1 (tingkatan 1) selama 3 bulan yang bermula sejak 12 Januari lalu. Majlis penutup telah diadakan dengan suasana yang meriah. Ustaz Ahmad Azhari Talib, Pemangku Ketua Penolong Pengarah Pelajaran, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan berkenan merasmikan penutup KEMBAQ.

Acara dimulakan pada pukul 2.30 petang dengan perbarisan kawad secara formasi yang berjaya memukau hadirin yang hadir termasuk ibu bapa pelajar E'dadi Satu dan Dua. Antara acara penutup yang lain adalah coral speaking dalam bahasa arab, pentomen dan sajak.


Kehadiran ibu bapa dan penjaga pelajar telah menaik semangat para pelajar untuk berusaha dengan lebih gigih lagi mendalami ilmu dan kaedah bahasa arab. Syabas dan tahniah diucapkan kepada yang berjaya membantu pelajar dalam mendalami ilmu kaedah bahasa arab khususnya Ustaz Zulkarnain Itam dan barisan fasilitator yang terdiri dari bekas pelajar Maahad Ahmadi 2008.

Artikel : Guru Sakit Jiwa?

CATEGORY: | 27.3.09
0

Profesion perguruan terdedah kepada risiko tinggi untuk mengalami tekanan mental.


PESAKIT mental terpaksa berjumpa pakar psikiatri secara berkala.

Petikan di atas diambil dari suratkhabar online Kosmo. Keterangan lanjut sila klik : http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0322&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Maahad Ahmadi

CATEGORY: | 17.3.09
0
13 Mac-Maahad Ahmadi : MAJLIS sambutan Maulidur Rasul telah diadakan di Dewan Ibn Sina, Maahad Ahmadi. Majlis yang sepatutnya dimulai dengan perarakan terpaksa dibatalkan kerana hujan yang turun sejak pagi. Majlis yang disambut sederhana ini dimulakan dengan bacaan madeh memuji junjungan Rasul Sallahu Alaih Wa Salam.

Majlis diteruskan dengan mendengar ceramah yang disampaikan oleh Al Fadhil Ustaz Dr Zulkifli b Mohamad Al Bakri, pensyarah USIM. Beliau menekankan kepentingan ilmu kepada hadirin yang hadir pada majlis tersebut.

Guru dan para pelajar yang hadir turut diingatkan akan bahana jika terus lalai dan leka dengan apa yang sedang dan akan berlaku. Majlis berakhir pada jam 10.20 pagi.

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan

CATEGORY: | 10.3.09
0
9 Mac, SEREMBAN - MAJLIS Sambutan Maulidur Rasul S.A.W Peringkat Negeri Sembilan telah diadakan di Padang Majlis Perbandaran Seremban. Sambutan bermula seawal 7 pagi yang disertai kira-kira 9,000 umat Islam di Negeri Sembilan. Turut berangkat adalah Tuanku Muhriz Ibn Almarhum Tuanku Munawir, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang turut sama dalam perarakan mengelilingi bandar Seremban.

Maahad Ahmadi tidak ketinggalan menyertai perarakan tersebut yang diketuai oleh pengetua, Ustaz Abd Rahim Ma'mor serta beberapa guru yang turut serta berarak disamping kira-kira 120 pelajar. Majlis perarakan ini berakhir pada jam 10 pagi.

Kem Bahasa Al Quran

CATEGORY: | 2.3.09
0
Kemahiran Bahasa Al-Quran (KEMBAQ) telah merancang satu modul bahasa arab khas kepada pelajar-pelajar tingkatan 1 dan tingkatan 2 Maahad Ahmadi selama 3 bulan yang bermula pada 12hb Januari – 25hb Mac 2009. Program ini bertujuan untuk mencapai target sasaran 80% ‘A’ bagi calon PMR 2010 dan 100% ‘A’ bagi calon PMR 2011. Di samping itu juga, program ini dapat memahirkan pelajar-pelajar yang mampu membuat ayat dan bertutur dalam bahasa arab dengan lancar tanpa sebarang kesalahan ayat.

Kursus ini diketuai oleh Ustaz Zulkarnain bin Itam serta dibantu seramai 15 orang fasilitator lepasan STAM Maahad Ahmadi yang terlatih. Bagi tingkatan 1, kursus ini dilakukan dari hari Isnin hingga hari Jumaat bermula 7.30 pagi hingga 10.00 pagi. Pelajar-pelajar akan di bahagikan kepada beberapa kumpulan untuk memudahkan proses pembelajaran. Setiap kumpulan mempunyai fasilitator yang akan membantu mereka dalam proses pembelajaran. Manakala bagi tingkatan 2, kursus mereka dilakukan pada hari Isnin dan Rabu bermula jam 9.00 malam hingga 10.30 malam.

Permulaan Kursus Intansif Bahasa Arab dengan memberi sedikit motivasi kepada pelajar-pelajar untuk menerangkan kepada mereka kepentingan penggunaan bahasa arab.
Motivasi ini diberi bagi menarik minat pelajar-pelajar untuk mempelajari bahasa arab. Selepas itu mereka memulakan sesi pembelajaran yang akan di ketuai oleh Ustaz Zulkarnain bin Itam dan dibantu oleh fasilitator.

Dalam Kursus Intansif Bahasa Arab ini, kami menggunakan modul pendekatan yang berbeza bagi tingkatan 1 dan tingkatan 2. Bagi tingkatan 1 meraka akan didedahkan dengan penggunaan domir, isim, faiel, hurf dan lain-lain serta mereka dilatih untuk membuat ayat dan bertutur dalam bahasa arab. Manakala bagi tingkatan 2, mereka di dedahkan dengan ilmu tasrif. Madih nabawiyah, nasyid, hadis, ayat al-Quran dan riadah turut di selitkan dalam kursus ini bagi menarik minat pelajar-pelajar.

Sila layari laman web KEMBAQ. Klik di ruangan pautan web ini.