Sudah berdaftar sebagai ahli e-MANS?

Sekolah Ganti

CATEGORY: | 25.7.09
0
HARI ini merupakan sekolah gantian sempena cuti Aidilfitri yang akan datang. Ini merupakan cuti gantian yang ketiga selepas cuti pada hari Sukan Sekolah dan Gotong Royong Perdana.

Pada hari ini juga diadakan pertemuan tiga penjuru antara guru, ibu bapa penjaga serta anak bagi membincangkan masalah, tindakan, nasihat untuk kebaikan pelajaran anak-anak Maahad Ahmadi.

Israk dan Mikraj

CATEGORY: | 21.7.09
0
Kini kita berada di penghujung bulan Rejab 1430 Hijrah. Bulan berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj keatas Nabi Muhammad S.A.W pada tahun kesebelas selepas kenabian Baginda S.A.W. Pada malam tersebut Allah S.W.T telah memperjalankan Baginda daripada Masjid Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin. Seterusnya Baginda diangkat ke langit untuk bertemu dengan Allah S.W.T dan kembali semula ke Mekah dalam masa satu malam sahaja.

Salah satu fakta menggambarkan perjuangan dakwah Rasulullah SAW adalah peristiwa Israk dan Mikraj yang sentiasa diingati setiap Rejab. Walaupun ada beberapa pandangan berbeza menentukan tarikh sebenar peristiwa itu seperti dilaporkan kitab Al-Rahiq Al-Makhtum karangan al-Mubarakfuri.

Firman Allah S.W.T didalam surah al-IsraK ayat 1 yang bermaksud :
"Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang kami berkati sekelilingnya untuk diperlihatkan kepada-Nya tanda kekuasaan kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui".

Ketika memperingati peristiwa naiknya Rasulullah SAW menghadap Allah, sememangnya ilmu dan penghayatan kita akan terus bertambah dalam menjalankan ibadat solat kerana kita sentiasa menambah baik maklumat sedia ada dengan maklumat baru dalam al-Quran dan hadis.

Salah satu bentuk pengajaran dapat kita lihat melalui perintah Allah mengenai solat. Dengan ilmu mengenai solat maka jalan mengenal Allah sudah kita fahami dan seterusnya hubungan ini akan sentiasa erat dan akrab. Akhirnya, ujian apapun yang menghadang di setiap simpang jalan dakwah tidak dirasai terlalu berat kerana hati sentiasa menikmati kemanisan berdekatan dengan Allah.

Sesungguhnya peristiwa Israk dan Mikraj Nabi SAW adalah musafir terbaik pernah dialami Baginda. Ia ibarat hadiah bernilai yang bermatlamatkan menghapus kesedihan demi kesedihan Rasulullah SAW selepas pemergian Abu Talib dan Khadijah.

Bukan hanya itu, tragedi keganasan dan penolakan dakwah dilakukan penduduk Taif kepada Rasulullah SAW dan Zaid bin Harithah menjadi ujian terhebat yang menumpahkan darah Nabi SAW sehingga kasut Baginda dibasahi darah.

Hal itu tidak menjejaskan hikmah di sebalik peristiwa Israk dan Mikraj sebagai panduan bagi mereka yang berjalan di atas jalan dakwah.

Melalui perjalanan Rasulullah SAW naik ke tempat tertinggi bagi menerima titah amanah Allah yang mewajibkan sembahyang lima waktu sebagai ikatan kukuh antara hamba dengan Penciptanya, sesungguhnya ia memberi gambaran kepentingan ibadah ini.

Tinggalkan Maksiat, Ikuti Syariat : Nik Nur Madihah

CATEGORY: | 14.7.09
0

11 Julai : SABTU malam menyaksikan Dewan Ibn Sina bergema dengan kehadiran pelajar cemerlang Malaysia SPM 2008, Nik Nur Madihah. Beliau datang bersama ayah beliau, Encik Mohd Kamal.

Dalam siri nasihat dan motivasi kepada lebih 700 pelajar Maahad Ahmadi, beliau menekankan betapa pentingnya diri setiap individu pelajar muslim memelihara diri serta persekitaran dari terjebak melakukan maksiat sama ada kecil mahupun besar. Rahsia kejayaan hanyalah berpegang dan menjaga hubungan dengan Allah serta dengan manusia. Setiap tingkahlaku dan pegangan mesti kukuh seperti pelajar muslimah yang mesti kekal berpegang dengan pakaian sempurna yakni menutup aurat dan memakai tudung labuh walaupun sudah tamat persekolahan. Ini kerana banyak ujian yang akan ditempuhi dalam mengharungi hari-hari mendatang.

Jika kita lihat senario sekarang, pemakaian pelajar perempuan Maahad Ahmadi sudah berubah dengan melihat mereka datang untuk mengambil sijil ataupun surat berhenti sekolah.

Majlis bersama Madihah turut dihadiri oleh Ustaz Abd Rahim, pengetua Maahad Ahmadi serta guru-guru Maahad yang tinggal sekitar Gemencheh. Antara tips yang disampaikan oleh Madihah adalah :

1. Jaga batasan pergaulan.

2. Menjaga hubungan dengan Allah dan sesame manusia.

3. Adab terhadap guru.

4. Tidak malu bertanya.

5. Membentuk kumpulan belajar.

6. Sentiasa berdoa kepada Allah.

PPSMI Mansuh 2012

CATEGORY: | 9.7.09
0
TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan dimansuhkan mulai tahun 2012. Menurut beliau antara punca dimansuhkan adalah kerana kemerosotan pelajar dalam dua subjek tersebut sejak 2007.

Disamping itu, strategi serampang dua mata diambil dengan memperkukuhkan bahasa Malaysia dikalangan pelajar dan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dikalangan pelajar.

Kursus Perkembangan Staff 2009

CATEGORY: | 6.7.09
0
3 - 5 Jul;Ulu Beranang: UNIT Kurikulum dengan kerjasama Kelab Guru telah menganjurkan program Kursus Perkembangan Staf 2009 bertempat di Excel Training Resort, Ulu Beranang. Program ini diadakan selama 3 hari 2 malam berobjektif merapatkan silaturahim dan mempereratkan jalinan kerjasama sesama guru dan kakitangan Maahad Ahmadi.

Program dimulakan dengan ceramah dari Dr Azizan Ahmad, pensyarah kanan Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau membentangkan tajuk berkaitan 'Pengurusan Stress'.

Hari kedua, merupakan acara outdoor yang melibatkan permainan paint-ball, berkayak, sumpit, fying-fox, mencari botol dalam air dan pelbagai lagi.

Hari terakhir diadakan permainan berkonsep yang dikendalikan oleh Ustaz Zulkarnain Itam serta muhasabah. Majlis penutup diadakan sejurus selesai muhasabah. Program berakhir kira-kira jam 2.15 petang.

Taklimat Bersama YB Dato Mat Ali Hassan

CATEGORY: | 2.7.09
0
Wisma Negeri; 1 Julai : SERAMAI 16 orang guru Maahad Ahmadi telah diserapkan ke dalam jawatan tetap Perkhidmatan Pendidikan DG41. Satu taklimat telah diadakan di Bilik Gerakan Negeri bersama YB Dato' Mat Ali bin Hassan, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan.

Dalam ucapan Dato' SUK, beliau merakamkan jutaan tahniah diatas perlantikan sebagai guru tetap setelah sekian lama menjadi guru sandaran. Beliau dalam intipati yang sangat penting, menekankan peranan penjawat awam supaya meningkatkan produktiviti seperti yang disarankan oleh YAB Menteri Besar. Beliau juga menyeru agar guru-guru yang dilantik mengikut kehendak Kerajaan Negeri Sembilan yang perlu dipatuhi dan disesuaikan agar tidak bercanggah walaupun berbeza pendapat. Ini supaya objektif kerajaan Negeri Sembilan dapat dicapai dengan jayanya. Beliau turut menyentuh berkenaan isu berkenaan SMASKP yang dalam pertimbangan untuk diserahkan menjadi SABK.

Turut hadir dalam taklimat tersebut adalah Ustaz Selamat Paigo, Pemangku Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.