Sudah berdaftar sebagai ahli e-MANS?

Bencana Dari Allah

CATEGORY: | 30.9.09
0
Sebuah bot dari Malaloa Marina kelihatan terdampar di pinggir jalan utama di sebuah kampung di Fagatogo, Samoa Amerika selepas ombak tsunami yang berpunca daripada gempa bumi kuat melanda Samoa dan Samoa Amerika awal pagi Selasa. Sekurang-kurangnya 34 orang dilaporkan terbunuh dalam bencana itu.--fotoAP

Satu lagi kekuasaan Allah terhadap manusia selepas kejadian di Filipina dan Vietnam.

Tugas tambahan jejas keupayaan guru

CATEGORY: |
0
Dipetik dari Berita Harian Selasa 29 September 2009

Penambahan jawatan staf sokongan amat penting untuk beri fokus tugas mengajar

AWAL tahun, hari sukan, hari kokurikulum, mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), hari terbuka, musim peperiksaan, pertandingan peringkat daerah dan negeri, minggu suai kenal serta banyak lagi beban kerja yang selama ini terpaksa ditanggung guru sehingga sering kali memberi tekanan kepada mereka.

Guru kini bukan sekadar pengajar, malah semakin kurang dapat memberi tumpuan kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran, walaupun semua pihak menekankan kewajipan itu sebagai skop tugas utama guru di sekolah. Apa tidaknya, jengoklah ke mana-mana sekolah, atau tanyalah kepada mana-mana guru pun, pasti keluhan dan rungutan yang akan kedengaran mengenai tumpuan tugas mereka yang semakin hari semakin membebankan.

Itulah gambaran yang sewajarnya dilihat bagi menceritakan betapa guru kini tidak seperti guru pada satu zaman sebelum ini yang dihormati atas kredibiliti sebagai guru yang tegas dalam menyampaikan pengajaran serta cukup disegani atas kedudukan sebagai gedung ilmu.

Banyak pihak yang mungkin mencebik, menjuih bibir apabila guru merungut mengenai beban yang mereka hadapi. Tak kurang juga yang mengatakan guru ketika ini manja dan banyak 'songeh' serta pelbagai kritikan lagi seperti � 'sudahlah kerja separuh hari, cuti banyak pula, itupun nak merungut'.

Namun, mereka yang kebanyakannya menyalahkan guru dalam isu rungutan itu mungkin tidak peka mengenai situasi sebenar kerjaya itu ketika ini yang bukan sekadar kerap perlu bekerja melebihi masa sepatutnya, malah dibebani dengan longgokan kerja yang ada kalanya tak selesai di sekolah, terpaksa dibawa sehingga atas katil sebelum tidur.

Hampir kebanyakan tugas yang selayaknya diuruskan kerani atau pegawai data kini menjadi tanggungjawab guru. Daripada tugas merekod maklumat murid, data peribadi, keputusan peperiksaan secara manual dan berkomputer, bayaran yuran, rekod pinjaman buku teks, inventori aset sekolah sehinggalah kepada urusan pada peringkat pejabat pendidikan daerah serta jabatan pelajaran negeri.

Justeru, tak wajar guru dulu dan sekarang dijadikan perbandingan kerana pada zaman berteknologi maklumat serba canggih ini, semuanya perlu direkodkan secara berkomputer walaupun rekod bertulis turut perlu dibuat dan yang menyedihkan, bukan semua guru ada komputer atau lebih parah lagi, tak semuanya celik komputer.

Sebagai contoh, setiap tahun guru perlu mengemaskini maklumat murid serta data peribadinya. Tak cukup dengan itu, kutipan yuran perlu dibuat sendiri dan direkodkan dengan kemas. Maklumat lain termasuk rekod pinjaman buku teks dan keputusan peperiksaan perlu dikemas kini segera.

Bagi guru yang ditugaskan mengepalai panitia pula, beban itu ditambah dengan keperluan menyediakan kertas soalan peperiksaan hampir setiap dua atau tiga bulan. Ada pula guru yang mahir sedikit dalam reka bentuk grafik ditugaskan pula menyediakan grafik untuk majalah sekolah.

Tidak perlulah diperincikan semua beban tugas lain yang perlu lakukan kerana realitinya itu bukan tugas utama guru di sekolah, malah tak pernah diajar ketika mereka mengambil kursus perguruan di Institut Pendidikan Guru (IPG). Guru kelas pula pastinya sering merungut setiap kali musim kemas kini data tiba dan mereka ini juga yang kebiasaannya ditugaskan sebagai guru panitia, guru pembimbing rumah sukan serta kelab.

Persoalannya, bukankah semua beban tugas itu sewajarnya dilakukan oleh mereka yang lebih pakar dalam tugas merekod data atau maklumat. Bukankah kerja membabitkan kewangan perlu dilaksanakan kerani kewangan dan perihal data pula diuruskan oleh pegawai data? Memang ada guru data di sekolah, tetapi mereka sebenarnya bukan fokus dalam hal data semata-mata kerana perlu juga mengajar di kelas, malah ada yang perlu mengajar subjek kritikal.

Guru IT pula hanya layak mengajar asas komputer seperti menggunakan perisian Microsoft Word, Powerpoint atau Excel tanpa ada skil membuat sistem data yang lebih memudahkan guru memasukkan maklumat secara pantas dan pengiraan markah peperiksaan dibuat secara berkomputer, malah guru IT juga guru biasa yang perlu mengajar.

Pengerusi Majlis Permuafakatan Kesatuan Guru Malaysia, Jemali Paiman, berkata kementerian wajar mewujudkan satu jawatan baru di sekolah iaitu staf sokongan yang ditugaskan merekodkan data.

"Ketika ini, guru terutama guru kelas adalah mereka yang paling teruk dibebani dengan tugas tambahan selain mengajar dan ia paling kritikal ketika musim persekolahan baru bermula. Ketika itu, guru bukan setakat perlu menyediakan maklumat peribadi pelajarnya tetapi dibebani dengan banyak lagi tugas lain.

"Mereka perlu mengutip yuran, sediakan buku kedatangan pelajar, dapatkan maklumat murid serta keluarga mereka seterusnya membuat analisis kelayakan untuk diberi bantuan, malah guru juga bertindak sebagai pegawai kesihatan yang merekodkan maklumat kesihatan.

"Justeru, penambahan jawatan staf sokongan itu amat penting untuk mengembalikan guru kepada tugas sebenar mereka iaitu mengajar. Mereka perlu fokus untuk pengajaran, bukan dalam kerja pekeranian. Jangan biarkan mereka terus buat banyak kerja lain setiap hari dan pening kepala setiap hujung bulan," katanya.

Jemali turut bersetuju bahawa guru kini bukan sekadar layak digelar kerani tetapi mungkin tukang kebun, pengasuh, pereka grafik, tukang cat dan semua beban kerja yang dilonggokkan ke bahu mereka. Katanya, masa yang lapang hanya dua atau tiga waktu tetapi mengikut pekeliling, ia perlu diisi dengan persiapan mengajar.

"Cuti tahunan atau cuti rehat khas hanya ada tujuh hari. Mana cukup untuk digunakan apabila perlu. Berbeza dengan sektor lain, mereka ada tempoh cuti tahunan lebih panjang dan dapat fokus pada skop kerja mereka.

"Contohnya, mana ada jururawat yang ditugaskan membuat landskap hospital. Mana ada jurutera yang ditugaskan mengecat bangunan pejabat, tapi guru ada ketikanya perlu buat semua itu. malah, mural sekolah atau mengecat bangunan sekolah juga tergalas di bahu mereka," katanya.

Justeru, adalah wajar kementerian memantau apa keperluan dan keperitan yang dihadapi penggerak utama dalam sektor pendidikan di negara ini. Jangan satu hari nanti, kerjaya guru tidak lagi dipandang tinggi lantaran tidak lagi bertindak sebagai penyampai ilmu berkaliber kerana terlalu fokus pada tugas lain.

Gotong Royong Majlis Sambutan AidilFitri

CATEGORY: |
0
HARI ini gotong royong persiapan Majlis Sambutan Aidilfitri sedang berlangsung. Gambar dan berita akan menyusul kemudian..

Tadarus Al Quran 3

CATEGORY: | 17.9.09
0
MINGGU ini merupakan minggu terakhir bacaan tadarus Al Quran guru-guru Maahad Ahmadi yang diadakan setiap hari Isnin, Selasa dan Rabu sempena Ramadhan. Bacaan diteruskan dengan menghayati ayat dari surah Yaasin bermula ayat 70 hingga 83. Dalam membahaskan isi kandungan ayat, guru juga akan didedahkan dengan hukum tajwid bagi setiap ayat yang dibaca.

Sebelum menghuraikan ayat-ayat terakhir surah Yaasin, ingin mengimbas kembali perbincangan yang dibahaskan oleh guru berkenaan isu mimpi. Ia ibarat keadaan sebenar perwatakan kita apabila berkaitan dengan keaiban atau malunya seseorang akibat melakukan maksiat. Digambarkan Nabi Adam dan Hawa dilucutkan pakaian kerana melakukan kesalahan kepada Allah. Pernahkah kita terfikir, apabila sesuatu balasan atau hukuman, Allah jatuhkan serta merta kepada kita. Contoh, jika kita mencuri, maka pakaian kita akan terlondeh dan tahulah orang kita telah melakukan kesalahan. Sebaliknya tidak, kita umat Nabi Muhamad SAW masih diberi hutang oleh Allah untuk bertaubat atau menyesali perbuatan kita. Untungnya dan bertuah kita menjadi umat Nabi Muhamad SAW yang penuh barakah. Sebut tentang berkat, ada juga perbahasan berkaitan pemakaian atau berkat kayu koka. Ada pendapat yang pelbagai namun hakikatnya yang penting adalah niat kita sebenarnya.

Dalam ayat 64, penafsiran bahawa Allah akan mengazab orang kafir bukan kerana mereka itu melakukan kezaliman, menentang Islam tetapi diseksa dan diazab kerana mereka itu kafir dan kufur kepada Allah. Justeru, setiap orang kafir akan diazab dan diseksa hatta mereka berkelakuan baik dan tidak menzalimi umat Islam.

Rangkuman ayat 65-72 menyaksikan kehebatan dan kekuasaan Allah apabila berlaku hari kiamat. Ditunjukkan juga sikap orang kafir yang masih tetap sombong dan angkuh walaupun mengetahui mereka akan dibakar api neraka. Jika difikir secara logik, apabila kita dijatuhi hukuman, seboleh mungkin kita akan merayu tetapi orang-orang kafir ini biadap dan angkuh dengan meminta-minta kepada Allah supaya mereka sendiri menjadi saksi.

Di hari terakhir pengisian tafsir surah yasin, guru mendedahkan tentang sifat redha dan sabar yang menjadi tanda ukur tentang iman dan hati seseorang. Diceritakan juga tentang segala kejadian Allah dibumi akan dijadikan api neraka hatta lautan melalui tafsiran sains dan alam.Wallahu A'lam.

Jadi Pelajar Yang Berjaya - Dato Hasim Rusdi

CATEGORY: | 14.9.09
0

Masjid Lama Kampung Pulau ; PROGRAM I'tikaf Peringkat Negeri Sembilan telah diadakan pada 11 hingga 13 September yang terdiri daripada pelajar-pelajar Sekolah Menengah Agama Kerajaan Negeri Sembilan. Ia membabitkan 8 buah masjid sekitar Negeri Sembilan. Pelajar Maahad Ahmadi beri'tikaf di Masjid Kampung Keru, (Tampin), Masjid Astana Raja (Rembau) dan Masjid Lama Kampung Pulau (Labu).

Program yang diadakan di Masjid Lama Kampung Pulau telah ditutup dengan rasminya oleh YB Dato Hasim Rusdi, EXCO Kerajaan Negeri Sembilan yang juga ADUN Labu. Dalam ucapannya, beliau menyarankan agar pelajar mengambil kesempatan terhadap program yang diadakan sebagai persediaan bermasyarakat kelak.

Beliau juga menyeru agar pelajar menjadi seorang yang berjaya bukan sahaja di dunia malah di akhirat. Oleh itu, persediaan yang mantap dan benteng yang kukuh dapat menghindarkan pelajar dari terjebak gejala yang tidak sihat lebih-lebih lagi dalam keadaan globalisasi yang tiada sempadan maklumat dan amalan.

Majlis penutup diadakan di akhir hari I'tikaf iaitu pada Ahad jam 12 tengah hari. Turut hadir Puan Zawiyah Ibrahim, penyelia Pelajaran JHEAINS, Haji Abas Sidek, Ketua Kampung Labu Hilir dan Imam Masjid Lama Kampung Pulau, Tuan Ismail Abu Samad. Pelajar yang mengikuti program di Masjid Lama Kampung Pulau seramai 42 orang iaitu yang teramai di sesebuah masjid dan di pantau oleh Ustaz Zulkarnain Itam dan Ustaz Mohammad Hilmy Mahmad.

Tadarus Al Quran 2

CATEGORY: | 11.9.09
0

BACAAN tadarus Al Quran guru-guru Maahad Ahmadi setiap hari Isnin, Selasa dan Rabu sempena Ramadhan diteruskan dengan menghayati ayat dari surah Yaasin bermula ayat 41 hingga 52. Dalam membahaskan isi kandungan ayat, guru juga akan didedahkan dengan hukum tajwid bagi setiap ayat yang dibaca.


Dalam ayat 41, Allah SWT menambahkan lagi sebutan tentang tanda-tanda kehebatanNya, bagi membuktikan akan keEsaan Allah. Mari kita imbas kembali ayat-ayat sebelumnya yang menunjukkan kekuasaan Allah, sebagai contohnya, ayat 33, yang bermaksud,"Lihatlah kepada bumi yg kering kontang, Kami bukan sekadar menghidupkan bumi yang kering itu, malah mengeluarkan biji-bijian / buah-buahan, sebahagiannya dimakan oleh manusia sendiri."

Dan satu lagi bukti tanda kekuasaan Allah ialah pada ayat 37, yang bermaksud,"Allah SWT mencabut siang yang terang benderang, tiba-tiba manusia berada dalam kegelapan." Ditambah lagi pada ayat 41, untuk menunjukkan tanda keagungan Allah: maksudnya "Dan satu lagi tanda bukti kepada manusia itu tentang kehebatan Kami, Kami bawa zuriat-zuriat manusia itu dan Kami layarkan zuriat-zuriat manusia itu."

Dalam hal ini, guru membentangkan tentang betapa kecilnya manusia jika nak dibandingkan dengan keagungan Allah. Jadi, tidak perlu kita menjadi seorang yang sombong kerana kita umpama zarah yang amat kecil, boleh ditiup ke mana, boleh dibuang begitu sahaja. Sebagai contoh, kita ingin membersihkan habuk di rumah, tidak memerlukan kuasa yang banyak untuk menghapuskan habuk. Begitu jugalah Allah, Yang Maha Besar lagi Maha Agung. Kita perlu lihat alam yang sebenarnya lebih luas dan terbentang di cakarewala sana.

Maksud firman Allah lagi, "Di dalam sebuah kapal yang sarat dengan muatan. (Kapal yg dimaksudkan di dalam ayat ini, ialah kapal Nabi Allah Nuh A.S. Dan dihuraikan oleh ahli tafsir : 'Dan satu alamat yang lain yang terang bagi manusia, yang menunjukkan atas sempurnanya kudrat Kami, kata Allah,"Sesungguhnya Kami telah membawa nenek moyang manusia yang terdahulu, yakni zuriat keturunan anak-anak Adam, di dalam kapal Nabi Nuh A.s. Dimana Allah
telah mengarahkan supaya Nabi Nuh A.S. membawa di dalam kapalnya itu, setiap sesuatu itu, mesti ada pasangannya.)

Sebab apa Allah SWT mengatakan tentang kapal Nabi Nuh A.S. kerana Dia nanti akan menceritakan perihal kapal-kapal lain di ayat seterusnya : Dalam ayat 42 maksudnya :"Dan Kami ciptakan untuk manusia itu, Seumpama kapal Nabi Nuh A.S. Bukan kapal Nabi Nuh sahaja, kapal-kapal yang lain juga diizinkan oleh Allah. Tanpa keizinan/kekuasaan Allah, tak mungkin kapal itu akan dapat belayar di dalam lautan samudera yg dalam dan jauh luas saujana mata memandang.

Dalam ayat ini, Allah SWT menyuruh kita berfikir, dengan Dia menceritakan dahulu tentang kapal Nabi Allah Nuh. Kemudian baru Allah SWT menukilkan penciptaan kapal-kapal besar yang lain, seumpama kapal Nabi Nuh A.S. Dengan menaiki kapal-kapal besar itu, manusia boleh sampai ke negeri yang jauh. Manakala dalam Ayat 43, maksudnya :"Sekiranya Kami Kehendaki, Nescaya Kami akan karamkan manusia berserta dengan kapal-kapalnya sekali di dalam lautan. Pada ketika, kalau Kami nak karamkan, kalau Kami kehendaki untuk menenggelamkan kapal-kapal besar di dalam lautan itu, Kami boleh! Waktu itu tiada siapa pun yang mampu menyelamatkan mereka.

Untuk yang akhirnya dalam perbincangan tersebut, dihuraikan tentang azab kubur berdasarkan ayat 52: قَالُوا يَا وَيْلَنَا مَن بَعَثَنَا مِن مَّرْقَدِنَا هَذَا مَا وَعَدَ الرَّحْمَنُ وَصَدَقَ الْمُرْسَلُونَ
Mereka berkata, “Aduh celakalah kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari tempat tidur kami (kubur)?”

Inilah yang dijanjikan (Tuhan) Yang Maha Pemurah dan benarlah Rasul-rasul (Nya).(Yaasin: 52)

Dalam Tafsir Ibnu Kathir: Walaupun ada keterangan bahawa orang di alam kubur dalam keadaan tidur lalu dibangunkan, tidak bererti bahawa siksa kubur itu tidak ada. Sebab dibandingkan dengan dahsyatnya azab neraka, azab kubur itu jauh masih lebih ringan. Sehingga hanya seperti orang lagi tidur saja. Dijelaskan di kitab tersebut bahawa setelah disiksa di alam kubur dan sebelum dibangkitkan di hari kiamat, orang-orang akan ditidurkan sejenak. Hal itu sebagaimana disebutkan oleh Ubay bin Ka’ab, Qatadah, Mujahid dan Al-Hasan.

Ini menjawab jika ada persoalan tentang adanya azab kubur atau tidak. Tetapi di akhir perbincangan dalam ayat 41-52 surah Yaasin, kita sebagai manusia perlu muhasabah dan mengelak dari melakukan maksiat kerana dengan melakukan maksiat, diri kita akan diaibkan. Wallahu A'lam.

Perkara Yang Membatalkan Puasa

CATEGORY: | 10.9.09
0
ADA sebahagian dari kita kadang kala malu bertanya tentang hukum. Lebih-lebih lagi jika amalan tersebut bukannya berkala. Contohnya, berpuasa yang diamalkan bukannya setiap hari. Jadi, untuk pengetahuan umum, disertakan perkara yang membatalkan puasa.

Perkara yang membatalkan puasa adalah seperti berikut :

1. Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga badan yang terbuka dengan sengaja, kecuali kerana darurat (seperti inhaler). Ini termasuk makan, minum, merokok. Adapun suntikan ubat, tidak membatalkan puasa.

2. Muntah dengan sengaja.

3. Mengeluarkan air mani dengan sengaja. Keluar air mani melalui mimpi tidak membatalkan puasa.

4. Melakukan jimak (hubungan seks) pada siang hari.

5. Kedatangan haids, nifas dan kelahiran bagi wanita. Lelaki tidak ada kena mengena dengan yang ini.

6. Menjadi gila yang sebenarnya gila. Bukan gila kuasa, gila duit.

7. Pitam sepanjang hari.

8. Mabuk sepanjang hari. Sepatutnya sebagai umat Islam kita menghindarkan diri dari dosa besar.

9. Murtad.

Wallahu A'lam.

Majlis Nuzul Al Quran Dan Berbuka Puasa

CATEGORY: | 8.9.09
0
MAJLIS Berbuka Puasa sempena Nuzul Al Quran telah diadakan dengan jayanya. Walaupun majlis dibuat sederhana, namun ia masih meriah dengan program yang diatur sejak pagi membabitkan pelajar Maahad Ahmadi. Seekor lembu dan dua ekor kambing telah menjadi menu utama dalam kemuncak majlis iaitu berbuka puasa yang turut dihadiri oleh Penolong Pengarah Pelajaran, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Ustaz Ahmad Azhari dan Cikgu Mohamad Alias.

Sebelah pagi diadakan Solat Tasbih, Bacaan Al Quran dan forum yang diketuai oleh Ustaz Zulkarnain Hitam bersama kira-kira 450 pelajar yang berjaya dikhatamkan. Selepas Asar, diadakan ceramah Nuzul Al Quran yang disampaikan oleh Ustaz Azzamudin bin Zainal, Penyelaras KAFA Selangor. Dalam ceramah tersebut, beliau menerangkan tentang keistimewaan Al Quran dan beberapa tips menjadi pelajar cemerlang melalui Al Quran.

Beberapa guru juga terlibat dalam menyediakan menu berbuka puasa yang diketuai oleh Cikgu Yunos pada sebelah pagi.

Tadarus Al Quran

CATEGORY: | 4.9.09
0
BACAAN tadarus Al Quran guru-guru Maahad Ahmadi setiap hari Isnin, Selasa dan Rabu sempena Ramadhan diteruskan dengan menghayati ayat dari surah Yaasin bermula ayat 13 hingga 25. Dalam membahaskan isi kandungan ayat, guru juga akan didedahkan dengan hukum tajwid bagi setiap ayat yang dibaca.

Minggu ini ada kisah yang menarik untuk dikongsi bersama dimana Allah merakamkan satu kisah yang menarik untuk dijadikan teladan dan pengajaran kepada pembacanya. Sepertimana firman Allah SWT :


وَاضْرِبْ لَهُم مَّثَلاً أَصْحَابَ الْقَرْيَةِ إِذْ جَآءَهَا الْمُرْسَلُونَ {13} إِذْ أَرْسَلْنَآ إِلَيْهِمُ اثْنَيْنِ فَكَذَّبُوهُمَا فَعَزَّزْنَا بِثَالِثٍ فَقَالُوا إِنَّآ إِلَيْكُم مُّرْسَلُونَ {14} قَالُوا مَآأَنتُمْ إِلاَّ بَشَرٌ مِّثْلُنَا وَمَآأَنزَلَ الرَّحْمَنُ مِن شَىْءٍ إِنْ أَنتُمْ إِلاَّ تَكْذِبُونَ {15} قَالُوا رَبُّنَا يَعْلَمُ إِنَّآ إِلَيْكُمْ لَمُرْسَلُونَ {16} وَمَاعَلَيْنَآ إِلاَّ الْبَلاَغُ الْمُبِينُ {17}

Bermaksud :

Dan buatlah bagi mereka suatu perumpamaan, iaitu penduduk suatu negeri ketika utusan-utusan datang kepada mereka.(Iaitu) ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang utusan, lalu mereka mendustakan keduanya; kemudian kami kuatkan dengan (utusan) ketiga,
maka ketiga utusan itu berkata:"Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang diutus kepadamu".Mereka menjawab:"Kamu tidak lain hanyalah manusia seperti kami dan Allah Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun, kamu tidak lain hanyalah pendusta belaka."Mereka berkata:"Tuhan kami lebih mengetahui bahwa sesungguhnya kami adalah orang yang diutus kepada kamu. Dan kewajiban kami tidak lain hanyalah menyampaikan (perintah Allah) dengan jelas".

Sesungguhnya ahli sejarah dan ahli-ahli tafsir berselisih pendapat tentang penduduk negeri yang mendustakan para rasul dalam surah Yasin ini. Antaranya berpendapat ia adalah penduduk Antakiyyah sebagaimana nukilan Ibn Ishaq daripada Ibn Abbas dan Ka’ab al-Ahbar.

Ahli Mufassirin juga berbeza pendapat tentang para utusan yang disebut. Ada yang berpendapat mereka adalah pembantu Nabi Isa as ( hawariyyun). Namun demikian Imam Ibn Kathir menolak kedua-dua pendapat ini.

Kita tidak perlu membuang masa menentukan negeri apa atau siapa utusan yang dihantar. Kerana sekiranya diketahui nama negeri tersebut berfaedah kepada kita nescaya Allah telah menyatakannya secara terang di dalam al-Quran. Sesungguhnya al-Quran diturunkan untuk difahami dan dihayati isi kandungan dan diambil pengajaran daripada kisah di dalamnya tanpa perlu ditekankan di mana dan siapa yang terlibat sebagaimana kaedah usul al-tafsir : Pengajaran di dalam al-Quran dengan lafaz umum bukan dikhususkan dengan sebab tertentu.

Pendustaan penduduk Mekah terhadap dakwah Rasulullah saw sama dengan pendustaan penduduk dalam surah ini terhadap dua orang rasul yang diutuskan. Maka Allah menguatkan dakwah mereka berdua dengan diutus seorang lagi rasul. Namun pendustaan penduduk semakin melampau dari semasa ke semasa. Allah berfirman :

قَالُوا إِنَّا تَطَيَّرْنَا بِكُمْ لَئِن لَّمْ تَنتَهُوا لَنَرْجُمَنَّكُمْ وَلَيَمَسَّنَّكُمْ مِّنَّا عَذَابٌ أَلِيمٌ {18} قَالُوا طَآئِرُكُم مَّعَكُمْ أَئِن ذُكِّرْتُم بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ مُّسْرِفُونَ {19}

Mereka menjawab:"Sesungguhnya kami bernasib malang kerana kamu, sesungguhnya jika kamu tidak berhenti (menyeru kami), nescaya kami akan merejam kamu dan kamu pasti akan mendapatkan siksa yang pedih dari kami". Utusan-utasan itu berkata:"Kemalangan kamu itu adalah kerana kamu sendiri. Apakah jika kamu diberi peringatan (kamu mengancam kami)?.Sebenarnya kamu adalah kaum yang melampaui batas.

Mereka menuduh para rasul hanya membawa sial dan musibah kepada mereka. Sekiranya sesuatu keburukan menimpa mereka semuanya berpunca daripada para utusan tersebut. Padahal kesyirikan mereka yang membuat mereka berada dalam nasib malang dengan ditimpa kesusahan dan nikmat terhalang.

Penduduk ini juga mengugut akan membunuh mereka dengan direjam dengan batu dan akan mendapat seksaan yang pedih sekiranya mereka meneruskan dakwah tersebut. Dengan demikian dakwah para utusan ke arah mengesakan Allah dan beribadat hanya kepadaNya ditolak sama sekali.

وَجَآءَ مِنْ أَقْصَا الْمَدِينَةِ رَجُلٌ يَسْعَى قَالَ يَاقَوْمِ اتَّبِعُوا الْمُرْسَلِينَ {20} اتَّبِعُوا مَن لاَّيَسْئَلُكُمْ أَجْرًا وَهُم مُّهْتَدُونَ {21} وَمَالِيَ لآأَعْبُدُ الَّذِي فَطَرَنِي وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ {22} ءَأَتَّخِذُ مِن دُونِهِ ءَالِهَةً إِن يُرِدْنِ الرَّحْمَـنُ بِضُرٍّ لاَّتُغْنِ عَنِّي شَفَاعَتُهُمْ شَيْئًا وَلاَيُنقِذُونَ {23} إِنِّي إِذًا لَّفِي ضَلاَلٍ مُّبِينٍ {24} إِنِّي ءَامَنتُ بِرَبِّكُمْ فَاسْمَعُونِ {25}

”Dan datanglah dari hujung kota seorang lelaki(Habib An Najjar) dengan berkata:"Hai kaumku ikutilah utusan-utusan itu. Ikutilah orang tiada minta balasan kepadamu; dan mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk. Mengapa aku tidak menyembah (Allah) yang telah menciptakanku dan yang hanya kepadaNyalah kamu (semua) akan dikembalikan? Mengapa aku akan menyembah tuhan selainNya, jika (Allah) Yang Maha Pemurah menghendaki kemudharatan terhadapku, nescaya syafaat mereka tidak memberi manfaat sedikitpun bagi diriku dan mereka tidak (pula) dapat menyelamatkanku?. Sesungguhnya aku kalau begitu pasti berada dalam kesesatan yang nyata. Sesungguhnya aku telah beriman kepada tuhanmu; maka dengarkanlah (pengakuan keimanan)ku.

Bila penduduk tersebut merancang untuk membunuh para utusan itu, tiba-tiba datang seorang lelaki daripada pinggir bandar memberi nasihat dengan penuh hikmah kepada penduduknya agar beriman dengan risalah yang dibawa oleh para rasul. Namun demikian penduduk tidak menerima nasihatnya malah lelaki tersebut dibunuh dengan kejam. Ibn Mas’ud berkata : lelaki itu dipijak-pijak hingga terkeluar usus daripada duburnya. Maka mati syahidlah lelaki tersebut.

Siapakah lelaki tersebut? Kebanyakan ulamak tafsir berpendapat lelaki tersebut ialah Habib al-Najjar sebagaimana pendapat Ibn Abbas, Qatadah dan al-Sudiy sepertimana dinukilkan dalam tafsir Ibn Kathir.

Antara keistimewaan kisah dalam al-Quran ialah bukan sahaja menceritakan kisah yang telah berlaku malah dirakam juga perkara ghaib yang mustahil diketahuinya melainkan dengan wahyu Allah SWT. Dalam kisah ini Allah memaklumkan bahawa lelaki yang dibunuh secara kejam hanya semata-mata kerana menyuruh kepada tauhid mendapat kemuliaan di sisi Tuhannya di atas keimanan dan keikhlasannya. Sebagai ganjarannya dia dimasukkan ke syurga. Apabila dia melihat kemuliaan, keampunan dan ganjaran di sisi Allah dia berangan-angan alangkah baiknya sekira kaumnya mengetahui apa yang dia perolehi pada waktu itu nescaya mereka tidak akan menolak risalah para utusan.

Sebagai balasan terhadap pendustaan risalah para rasulNya dan kezaliman yang dilakukan terhadap walinya Allah membinasakan kaum tersebut dengan satu teriakan yang dahsyat menyebabkan mereka semua mati bergelimpangan.

Kisah ini mengandungi banyak iktibar yang boleh dijadikan pedoman hidup kita, antaranya ialah ;

1. Dakwah menegakkan kebenaran perlu diteruskan walaupun mendapat tentangan hebat daripada orang ramai.

2. Dakwah perlu dilaksanakan dengan hikmah dan dengan pengajaran yang baik.

3. Kita hendaklah istiqamah dan berpegang teguh dengan tauhid dan mempertahankannya walaupun menghadapi kesulitan dan kesusahan.

4. Individu dan tempat yang terdapat dalam kisah al-Quran bukan keutamaan untuk diketahui tetapi pengajaran dan iktibar yang perlu diambil perhatian untuk dijadikan pedoman hidup.

5. Sesiapa sahaja yang melakukan pengorbanan untuk mempertahankan agama akan mendapat keampunan dan kemuliaan di sisi Allah SWT.

6. Setiap penderhakaan terhadap Allah pasti akan mendapat balasan sama ada di dunia atau di akhirat.

Wallahu A'lam.