Sudah berdaftar sebagai ahli e-MANS?
Posted by maahad_ahmadi on 3.5.10 in
Sejarah Kelas Tahfiz

Penubuhan Kelas Tahfiz mula disuarakan pada pertengahan tahun 1980-an. Mula dibuka pada sesi 1990/1991 dengan pengambilan pelajarnya seramai 17 orang. Sehingga sesi 1994/1995, bilangan pelajarnya seramai 62 orang.

Di antara objektif penubuhan Kelas Tahfiz di institusi ini ialah:
  1. Memenuhi fadhu kifayah.
  2. Melahirkan seberapa banyak Al-Hafiz yang berkemahiran.
  3. Menyediakan Al-Hafiz yang bukan sahaja mampu menghafaz 30 juzuk tetapi juga ilmu-ilmu agama dan profesional lain sesuai dengan tuntutan semasa.
  4. Menampung kekurangan para Hafiz bagi mewakili negeri/negara ke Musabaqah Hafaz peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
  5. Menyahut gagasan ke arah membentuk generasi Al-Quran.
Peluang Melanjutkan Pengajian

Bagi penuntut aliran tahfiz, mereka akan memperoleh Sijil Tahfiz (Shahadah Tahfiz). Dengan sijil ini, penuntut tersebut berpeluang untuk melanjutkan pengajiannya di dalam atau luar negara seperti:
  1. Maahad Al-Qiraat, Shoubra, Mesir.
  2. Arab Saudi.
  3. Darul Quran (JAKIM), Malaysia.
  4. Dan lain-lain.
Kemudahan Yang Disediakan
  1. Semua penuntut tahfiz Al-Quran ditempatkan di asrama (asrama penuh).
  2. Tempat tinggal dan perbelanjaan makan minum di asrama adalah ditanggung oleh Kerajaan Negeri Sembilan.
  3. Biasiswa diberikan kepada penuntut secara bulanan.
Pemindahan Lokasi

Berbekalkan peruntukan khas dari MAINS (Majlis Agama Islam Negeri Sembilan), sebuah kompleks telah dibina bagi menempatkan penuntut-penuntut kelas tahfiz bagi menjamin lebih keselesaan dan kemudahan berikutan bilangan penuntut-penuntutnya yang semakin bertambah dari tahun ke tahun.

Lokasinya yang baharu masih lagi terletak di Gemencheh, tidak jauh dari Maahad Ahmadi (lebih kurang 1 kilometer). Kompleks ini kemudiannya diberi nama Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan (ITQAN).


Penjanaan Semula

Berikutan daripada permintaan dan harapan ibubapa, maka pihak pentadbiran telah menubuhkan semula Kelas Tahfiz di Maahad Ahmadi. Kelas ini adalah terbuka kepada mana-mana penuntut yang berhasrat untuk menghafal Al-Quran secara tersusun di samping mempelajari ilmu-ilmu agama dan profesional.

Sebuah bilik khas telah dibina demi mencapai matlamat tersebut. Para penuntut tahfiz juga dipantau oleh Guru Tasmik yang telah dilantik khas oleh pihak pentadbiran. Pelaksanaan sebegini diharap dapat meningkatkan lagi prestasi para penuntut dalam mempelajari ilmu agama dan profesional di samping menguasai juzuk-juzuk Al-Quran secara keseluruhannya, insya-Allah.
3 Responses to “Sejarah Kelas Tahfiz”:

Catat Ulasan