Sudah berdaftar sebagai ahli e-MANS?
Posted by maahad_ahmadi on 6.8.09 in
KINI kita sudah memasuki bulan Syaaban dimana merupakan bulan yang disebut sebagai bulan Nabi Muhamad S.A.W. Kita biasa mendengar berkaitan dengan kelebihan yang ada pada bulan Syaaban iaitu pada malam pertengahan bulan atau Nisfu Syaaban. Ini merupakan satu isyarat jelas kepada umat Islam bahawa tidak lama lagi akan berhadapan dengan bulan Ramadhan yang mulia.

Di samping itu, elok juga di bulan Syaaban ini kita membuat persiapan menyambut ketibaan bulan yang penuh barakah iaitu Ramadan. Pada kebiasaannya umat Islam menghias rumah dan membuat persiapan awal bagi menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri sebaliknya persiapan Ramadan tidak diambil berat. Sedangkan hari raya cuma sehari, puasa Ramadan pula sebulan lamanya. Sebaiknya bulan Syaaban dibuat persediaan bagi menempuh Ramadan. Bulan Syaaban juga elok dijadikan saat untuk bertaubat dan memohon keampunan Allah dan berdoa agar dikurniakan sifat istiqamah serta kesihatan supaya dapat menghayati sepenuhnya bulan Ramadan yang bakal tiba. Ketibaan bulan Syaaban seharusnya disambut dengan azam dan komitmen untuk meningkatkan keimanan kepada Allah dengan memperbanyakkan amalan dan kebajikan. Sebabnya hidup seorang muslim hendaklah sentiasa berubah kepada keadaan yang lebih baik daripada sebelumnya. Sebagai Muslim sewajarnya kita mengetahui apakah kelebihan bulan Syaaban agar ketibaannya dapat dihayati dengan sebaiknya. Keistimewaan ini juga menunjukkan kepada kita bagaimana Islam sangat mementingkan soal masa. Menyentuh tentang kelebihan bulan Syaaban terdapat beberapa hadis sahih yang menjelaskan tentangnya.
Berkenaan dengan hikmah atau rahsia menunaikan ibadah di bulan Syaaban, terdapat hadis-hadis sahih yang menceritakannya.

Antaranya:Usamah bin Zaid berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah aku tidak pernah melihat engkau berpuasa sebulan seperti mana kamu berpuasa pada bulan Syaaban. Jawab Nabi SAW: Itulah bulan di mana manusia mengabaikannya iaitu bulan antara Rejab dan Ramadan (Syaaban). Ia adalah bulan di mana segala amalan akan diangkat kepada Tuhan sekelian alam dan aku suka amalanku diangkat dalam keadaan aku berpuasa. (riwayat Nasai dan Ahmad)

Demikianlah beberapa hadis yang menunjukkan kelebihan bulan Syaaban dan pertengahan bulan Syaaban atau Nisfu Syaaban sebagai pintu masuk kepada ketibaan bulan yang lebih istimewa iaitu Ramadan.

Marilah kita jadikan Nisfu Syaaban bukan sekadar persiapan menghadapi Ramadhan, tetapi sebagai satu isyarat agar kita bersedia dengan bermuhasabah dan merenung segala amalan yang pernah kita lakukan. Gunakan peluang pada hari-hari terakhir Syaaban untuk kita bertaubat, berzikir, melakukan solat tahajud dan memohon keampunan dari Allah mudah-mudahan Ramadhan yang bakal kita tempuhi, akan menyinari hidup kita kelak.
0 Responses to “Syaaban Persiapan Sebelum Ramadhan”:

Catat Ulasan