Sudah berdaftar sebagai ahli e-MANS?

Selamat Hari Guru

CATEGORY: | 18.5.10


MAAHAD Ahmadi mengucapkan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik Maahad Ahmadi yang bertungkus lumus mendidik anak bangsa.

Maahad Ahmadi tidak mengadakan perayaan Hari Guru pada Isnin (17 Mei) kerana sibuk dengan peperiksaan pertengahan tahun. Sudah empat Maahad Ahmadi tidak mengadakan sambutan Hari Guru tepat pada 16 Mei setiap tahun.

Ini merupakan beberapa gambar menarik yang sempat diambil dibeberapa buah sekolah sekitar negara.

I Luve Islam di Maahad!!

CATEGORY: | 7.5.10
0
RABU kelmarin, krew ILUVEIslam sudi bertandang ke Maahad Ahmadi untuk menyampaikan segala rahsia dan kejayaan mereka dalam membangunkan portal ILuveIslam.

Untuk lebih lanjut sila klik : ILuvIslam di Maahad Ahmadi..Kami Jutawan Pendakwah

Maahad Ahmadi Tuan Rumah Majlis Tilawah Al Quran Tampin

CATEGORY: | 5.5.10
0
MAAHAD Ahmadi telah dipilih sebagai lokasi Majlis Tadarus Al Quran Peringkat Daerah Tampin peringkat akhir yang akan diadakan pada 7 Mei ini. Majlis akan diadakan di Dewan Ibn Sina yang boleh memuatkan kira-kira 700 orang dalam satu masa.

Peserta dibahagikan dalam beberapa bahagian iaitu tilawah Al Quran kanak-kanak dan tilawah Al Quran peringkat dewasa yang terdiri daripada kategori lelaki dan perempuan.

Pertandingan dijangka bermula sebelah pagi dan bersambung sebelum majlis penutup yang akan diadakan disebelah malam. Perasmian penutup dijangka disempurnakan oleh ADUN Kawasan Gemencheh, Dato Mohd Kamil Abd Aziz.

Dijemput kepada seluruh muslimin dan muslimat untuk memeriahkan majlis yang turut menampilkan artis nasyid dari kumpulan Soutul Ahmadi.

Portal Maahad Berwajah Baru

CATEGORY: | 3.5.10
0
ASSALAMUALAIKUM

Salam sejahtera kepada semua pengunjung. Portal Maahad Ahmadi tidak beroperasi seperti biasa sejak akhir bulan Mac kerana ia dalam proses pengubahsuaian. Operasi ini dibuat untuk memudahkan pengunjung mengetahui maklumat yang kami paparkan.

Tetapi, portal ini masih lagi dalam proses penaiktarafan dan beberapa pautan mungkin tidak dapat dicapai. InsyaAllah, dengan masa terbatas (mengajar, kerja-kerja lain), kami berusaha untuk menyiapkannya sesegera mungkin. Terima kasih kami ucapkan kepada semua pelawat kami..

Ilal Liqa'!!

Fasiliti Dan Kemudahan

CATEGORY: |
0
Koperasi

Dewan Selera

Surau

Dewan Ibnu Sina

Asrama Puteri

Asrama Putera

Sejarah Kelas Tahfiz

CATEGORY: |
6
Sejarah Kelas Tahfiz

Penubuhan Kelas Tahfiz mula disuarakan pada pertengahan tahun 1980-an. Mula dibuka pada sesi 1990/1991 dengan pengambilan pelajarnya seramai 17 orang. Sehingga sesi 1994/1995, bilangan pelajarnya seramai 62 orang.

Di antara objektif penubuhan Kelas Tahfiz di institusi ini ialah:
  1. Memenuhi fadhu kifayah.
  2. Melahirkan seberapa banyak Al-Hafiz yang berkemahiran.
  3. Menyediakan Al-Hafiz yang bukan sahaja mampu menghafaz 30 juzuk tetapi juga ilmu-ilmu agama dan profesional lain sesuai dengan tuntutan semasa.
  4. Menampung kekurangan para Hafiz bagi mewakili negeri/negara ke Musabaqah Hafaz peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
  5. Menyahut gagasan ke arah membentuk generasi Al-Quran.
Peluang Melanjutkan Pengajian

Bagi penuntut aliran tahfiz, mereka akan memperoleh Sijil Tahfiz (Shahadah Tahfiz). Dengan sijil ini, penuntut tersebut berpeluang untuk melanjutkan pengajiannya di dalam atau luar negara seperti:
  1. Maahad Al-Qiraat, Shoubra, Mesir.
  2. Arab Saudi.
  3. Darul Quran (JAKIM), Malaysia.
  4. Dan lain-lain.
Kemudahan Yang Disediakan
  1. Semua penuntut tahfiz Al-Quran ditempatkan di asrama (asrama penuh).
  2. Tempat tinggal dan perbelanjaan makan minum di asrama adalah ditanggung oleh Kerajaan Negeri Sembilan.
  3. Biasiswa diberikan kepada penuntut secara bulanan.
Pemindahan Lokasi

Berbekalkan peruntukan khas dari MAINS (Majlis Agama Islam Negeri Sembilan), sebuah kompleks telah dibina bagi menempatkan penuntut-penuntut kelas tahfiz bagi menjamin lebih keselesaan dan kemudahan berikutan bilangan penuntut-penuntutnya yang semakin bertambah dari tahun ke tahun.

Lokasinya yang baharu masih lagi terletak di Gemencheh, tidak jauh dari Maahad Ahmadi (lebih kurang 1 kilometer). Kompleks ini kemudiannya diberi nama Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan (ITQAN).


Penjanaan Semula

Berikutan daripada permintaan dan harapan ibubapa, maka pihak pentadbiran telah menubuhkan semula Kelas Tahfiz di Maahad Ahmadi. Kelas ini adalah terbuka kepada mana-mana penuntut yang berhasrat untuk menghafal Al-Quran secara tersusun di samping mempelajari ilmu-ilmu agama dan profesional.

Sebuah bilik khas telah dibina demi mencapai matlamat tersebut. Para penuntut tahfiz juga dipantau oleh Guru Tasmik yang telah dilantik khas oleh pihak pentadbiran. Pelaksanaan sebegini diharap dapat meningkatkan lagi prestasi para penuntut dalam mempelajari ilmu agama dan profesional di samping menguasai juzuk-juzuk Al-Quran secara keseluruhannya, insya-Allah.

Muat Turun Borang

CATEGORY: |
0
BERITA baik untuk semua guru-guru dan ibu bapa pelajar Maahad Ahmadi. Anda kini boleh memuat turun borang -borang yang biasa digunakan dalam urusan di sekolah. Anda tidak perlu lagi turun naik pejabat untuk mendapatkan borang-borang tersebut.

Kepada ibu bapa dan penjaga, anda juga boleh memuat turun borang permohonan sijil berhenti, keluar asrama. Terima kasih.

Semua boleh didapati dalam ruangan muat turun.

Admin
Portal Maahad Ahmadi

Alumni MANS

CATEGORY: |
0
Berita baik buat semua Alumni Maahad Ahmadi. Anda kini mampu membina rangkaian hubungan secara maya melalui rangkaian dalam talian yang telah dibina demi manfaat bersama. Pautan-pautannya adalah seperti berikut:

Laman Web Alumni

Lokasi

CATEGORY: |
Maahad Ahmadi terletak di Kampung Seri Asahan, Gemencheh, Negeri Sembilan (lebih kurang 2 kilometer dari Pekan Gemencheh). Lokasinya yang berada di sebelah jalan utama Tampin - Segamat serta binaan bangunannya yang terletak di atas bukit menjadikannya mudah untuk dilihat.

Bidang Pengajian

CATEGORY: |
0
Maahad Ahmadi menawarkan dua bidang pengajian utama kepada penuntutnya. Skop tersebut ialah:
  1. Bidang Akademik
  2. Bidang Arab (Sanawi)
  3. Bidang Tahfiz

Bidang Akademik
Bagi Bidang Akademik, para penuntut akan mempelajari subjek-subjek mengikut arus perdana negara. Subjek-subjeknya adalah sama seperti subjek-subjek yang ditawarkan di sekolah-sekolah biasa. Para penuntut akan menduduki peperiksaan PMR (Penilaian Menengah Rendah) bagi tingkatan 3 dan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) bagi tingkatan 5. Setakat ini, pihak sekolah masih belum membuka peluang untuk mengambil STPM (Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia) di sekolah ini.

Bidang Arab (Sanawi)
Bagi Bidang Arab (atau Sanawi) pula, para penuntut akan mempelajari subjek-subjek Arab sedari tingkatan 1 lagi. Kebiasaannya, program pengukuhan bahasa Arab akan dijalankan pada awal tahun pengajian bagi penuntut tingkatan 1 agar mereka dapat mempersiapkan diri dengan sebaiknya sebelum memulakan sesi pembelajaran sanawi. Sesi persediaan tersebut mungkin mengambil masa selama 1 hingga 2 bulan. Namun begitu, program-program pengukuhan semasa juga akan dijalankan setiap tahun agar mutu dan kualiti bahasa Arab dalam kalangan penuntut institusi ini dapat dipertingkatkan.

Bidang Tahfiz
Bidang ini merupakan satu bidang yang baru ditawarkan secara khusus untuk penuntut institusi ini. Sebelum ini, institusi ini telah pun menawarkan program pengajian tahfiz di dalam sesi pembelajarannya. Namun, proses pembelajarannya masih kurang teratur dan mapan. Oleh yang demikian, pihak pentadbiran telah membuka peluang secara khusus dan tersusun bermula pada tahun 2010 untuk mana-mana penuntut yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang tahfiz.

Pauntauan akan dijalankan oleh Guru Tasmik yang telah dilantik. Sesi hafazan dan pembelajarannya pula diadakan di dalam bilik hafazan khas.

Logo Dan Takrifan

CATEGORY: |
0
Logo Maahad Ahmadi (seperti yang tertera di atas) merupakan simbolik gabungan huruf-huruf Arab (Ahmadi) yang dibentuk menjadi seakan-akan bentuk kubah yang melambangkan kesatuan ilmu dan amal yang berdasarkan Al-Quran dan Al-Sunnah. Walaupun bentuknya tampak mudah dan ringkas, namun tersirat di sebalik lakarannya seribu untaian makna.

Konseptual logo yang didasari motto "Tarbiah, Hadharah, Falah" (di dalam bahasa Arab) ini menjadi tunjang perjuangan pencarian ilmu dan pembentukan akhlak dan nilai murni warga institusi ini.

Motto TARBIAH - HADHARAH - FALAH:
- Membawa maksud "Didikan - Ketamadunan - Kejayaan". Warga institusi ini berharap agar segala ilmu dan amal yang diserap sepanjang keberadaan di dalam institusi ini mampu membentuk jati diri individu yang progresif dan dinamik serta memiliki nilai dan sahsiah yang murni.

Konseptualisasi menyeluruh logo ini mencerminkan peranan Maahad Ahmadi sebagai sebuah institusi yang menaungi warganya dalam penyebaran ilmu dan pengaplikasian amal di samping menyeru ke arah kebaikan dan kebajikan.

Piagam Pelanggan

CATEGORY: | 2.5.10
PIAGAM PELANGGAN

Kami warga Maahad Ahmadi dengan penuh tekad dan berjanji akan menumpukan tenaga untuk:
  1. Berusaha dengan sedaya-upaya memberikan perkhidmatan dan hasil pendidikan yang berkualiti kepada pelajar-pelajar kami.
  2. Berusaha dengan bersungguh-sungguh mencapai matlamat seratus-peratus lulus dalam peperiksaan PMR, SPM dan STAm pada setiap tahun.
  3. Berusaha menerapkan budaya ilmu kepada pelajar melalui program yang menggalakkan tabiat membaca, munaqasyah dan uswatun hasanah.
  4. Memberi perhatian terhadap semua aduan yang berkaitan dengan organisasi sekolah ini dan menyelesaikannnya dengan segera.
  5. Memberi perhatian dan mengambil tindakan segera terhadap kes-kes kemalangan dan sakit dalam kalangan pelajar yang berlaku di kawasan sekolah.
  6. Mengamalkan tatacara peraturan sekolah yang sesuai dan adil untuk pelajar.
  7. Bersedia mengatur perbincangan dengan ibubapa mengenai kemajuan pendidikan anak-anak mereka sekurang-kurangnya sekali dalam setahun.
  8. Bersedia menerima cadangan dan pandangan yang positif untuk mempertimbangkan kualiti perkhidmatan sekolah ini.
  9. Sentiasa patuh dengan arahan dan harapan "Stakeholders" kami; Bahagian Pelajaran JHEAINS, JPNS dan Kementerian Pelajaran Malaysia berkaitan pendidikan dalam tempoh satu minggu atau sebelum tarikh yang ditetapkan dengan sikap kami yang bercirikan kebolehpercayaan, daya ketahanan, keselamatan, kefungsian, menepati masa, ketetapan fakta dan kesopanan.

Motto, Visi Dan Misi

CATEGORY: , , |
0
MOTTO

Tarbiah - Hadharah - Falah

VISI

Maahad Ahmadi cemerlang dengan pencapaian terbaik dalam kurikulum, disiplin serta ko-kurikulum menjelang 2011.

MISI

Berusaha dengan gigih untuk merealisasikan kebitaraan akademik dengan bermatlamatkan pencapaian A dalam semua matapelajaran, mematuhi undang-undang dan disiplin sekolah serta melibatkan diri secara aktif dalam kegiatan ko-kurikulum dengan berpaksikan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah dalam semua perancangan dan tindakan bagi melahirkan warganegara yang progresif dan dinamik serta memiliki nilai dan sahsiah yang murni menjelang 2011.